PANASONIC Malaysia mengumumkan pelancaran Penyelesaian Kehidupan Pintar Panasonic S.iCITY dan Ekosistem Pengawasan Pintar AI Panasonic bagi menyokong pembangunan komuniti yang lebih selamat, pintar dan lestari.
Panasonic Malaysia Sdn Bhd berkata, kedua-dua ekosistem ini direka untuk sektor komersial, kediaman, kerajaan, pendidikan dan bandar pintar dengan menawarkan penyelesaian bersepadu yang menggabungkan kehidupan pintar, keselamatan dan kecekapan tenaga.
Menurutnya, Penyelesaian Panasonic S.iCITY merupakan ekosistem rumah pintar yang menggunakan teknologi Zigbee 3.0 dan Wi-Fi bagi membolehkan pengguna mengawal pelbagai peranti melalui satu aplikasi mudah alih.
"Sistem ini menyokong pengurusan rumah pintar berpusat, automasi, kawalan akses, pengurusan pelawat, pemantauan kebocoran gas, integrasi pembantu suara dan pemantauan tenaga.
"Ciri automasi seperti Good Night, Away Mode dan Movie Mode meningkatkan keselesaan pengguna sambil membantu menjimatkan penggunaan tenaga.
"S.iCITY turut diintegrasikan dengan rangkaian produk Panasonic seperti penghawa dingin inverter, peti sejuk, mesin basuh, sistem pengudaraan dan peralatan rumah pintar lain," ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah kenyataan itu, Ekosistem Pengawasan Pintar kecerdasan buatan (AI) pula menggabungkan kamera siri E, V dan P bersama Perakam Video Rangkaian (NVR) serta Sistem Pengurusan Video (VMS).
Jelasnya, penyelesaian keselamatan ini menggunakan analitik AI, perlindungan keselamatan siber dan automasi pintar bagi membolehkan pemantauan yang lebih proaktif.
"Antara ciri utama ialah analitik video AI, pengesanan pencerobohan, pengecaman wajah, pengecaman nombor plat kenderaan (ANPR), pengimejan terma serta pengurusan insiden pintar.
"Ekosistem ini sesuai digunakan di bangunan komersial, kemudahan kerajaan, institusi pendidikan, bandar pintar, infrastruktur kritikal, kawasan industri dan pembangunan kediaman," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Bersekutu Penyelesaian Sistem Panasonic Malaysia, Seelan Kandasamy berkata, pelancaran itu menandakan transformasi syarikat daripada penyedia perkakasan tradisional kepada rakan penyelesaian pintar yang menyeluruh.
"Kami bukan sekadar memperkenalkan produk tetapi turut menawarkan ekosistem bersepadu yang meningkatkan cara kehidupan individu, bekerja, belajar dan berinteraksi dalam persekitaran yang lebih selamat serta lestari.
"Melalui ekosistem Kehidupan Pintar dan Pengawasan AI, kami berhasrat untuk menyokong komuniti pintar masa hadapan Malaysia dengan menyediakan penyelesaian yang berteraskan keselamatan, kemudahan,keselesaan," ulasnya.