SHAH ALAM -"Tolong halalkan makan minum saya dan ilmu yang umie beri."
Demikian catatan nota dipercayai ditinggalkan seorang remaja, Muhammad Shazriq Ziqri Abdullah, 14, yang dilaporkan hilang selepas keluar rumah di Pangsapuri Rimba di sini sejak 23 Jun lalu.
Menerusi catatan itu, remaja berkenaan turut membuat permohonan maaf ke atas ibunya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 24 Jun lalu yang dibuat oleh ibu mangsa setelah gagal mengesan anaknya.
"Mangsa dipercayai telah keluar rumah kira-kira jam 6.45 pagi.
"Polis telah membuka kertas siasatan sebagai Orang Hilang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengambil kira semua kenalan dan tempat yang pernah dikunjungi oleh mangsa.
Sehubungan itu katanya, orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Razi Sahari di talian 019-5717076.