IPOH – Demi memastikan enam anaknya tidak terabai, seorang bapa sanggup bekerja siang dan malam meskipun terpaksa mengutip barangan lusuh serta melakukan kerja sambilan di kilang memproses ayam bagi menampung keperluan keluarga.
Muhammad Amir Zulkarnain Abdullah, 49, berkata, kehidupan keluarganya semakin mencabar apabila dua daripada enam anaknya menghidap masalah kesihatan kronik yang memerlukan rawatan dan ubat-ubatan secara berterusan.
Menurutnya, anak sulung berusia 20 tahun mengalami sembelit kronik sejak berusia empat tahun dan perlu memakai lampin pakai buang setiap hari.
"Anak kedua yang berusia 19 tahun pula disahkan menghidap penyakit jantung serta masalah tulang belakang bengkok ketika berusia sembilan tahun.
"Rawatan mereka masih diteruskan. Anak sulung lebih memerlukan perhatian kerana penggunaan lampin pakai buang yang tinggi manakala anak kedua perlu mengambil ubat setiap hari dan menjalani pemeriksaan di Institut Jantung Negara (IJN) setiap enam bulan," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Muhammad Amir berkata, perbelanjaan bagi kedua-dua anaknya mencecah antara RM500 hingga RM600 sebulan termasuk kos ubat dan lampin pakai buang.
Katanya, bantuan kewangan bulanan RM400 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sedikit sebanyak membantu meringankan beban, selain bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
"Kalau tak ada bantuan memang lagi susah. Kadang-kadang bantuan yang ada pun habis untuk beli keperluan dan ubat. Sebab itu saya kena kerja lebih.
"Saya kerja sambilan di kilang memproses ayam pada waktu malam. Siang pula saya kutip barangan lusuh. Kalau dapat RM30 hingga RM50 sehari daripada jual besi buruk pun saya sudah bersyukur kerana boleh beli lauk dan lampin pakai buang," katanya.
Muhammad Amir yang tinggal di sebuah rumah pangsa dengan kadar sewaan RM104 sebulan berkata, isterinya yang sebelum ini bekerja kini menjadi suri rumah sepenuh masa bagi menjaga anak bongsu yang masih kecil.
Menurutnya, urusan membawa anak kedua mendapatkan rawatan di IJN turut memerlukan perbelanjaan kira-kira RM150 setiap kali perjalanan bagi menampung kos makan dan pengangkutan namun bersyukur kerana ia turut dibantu MAIPk.
Sejak 2016, MAIPk juga pernah menyalurkan beberapa bantuan khas, bantuan kecemasan dan bantuan hari raya mengikut keperluan bagi membantu meringankan beban keluarga Muhammad Amir.
Lebih membanggakan lagi, di sebalik kekurangan itu salah seorang anaknya kini berjaya melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak, Kampus Seri Iskandar.
Kisah Muhammad Amir ini merupakan sebahagian daripada ribuan rakyat yang menerima manfaat daripada pelbagai inisiatif disediakan kerajaan negeri Perak bagi memastikan mereka dapat meneruskan kehidupan.
Ia juga selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad untuk melihat tiada rakyat disisihkan dalam pembangunan negeri ini.