SHAH ALAM - Kementerian Pengangkutan (MOT) menangguhkan pelaksanaan tindakan penguatkuasaan penuh berhubung keperluan pemasangan dan pematuhan alat pengehad kelajuan atau Speed Limitation Device (SLD) bagi kenderaan perdagangan bagi memberi ruang kepada industri melengkapkan proses pematuhan secara lebih teratur.
MOT dalam kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas industri, khususnya daripada syarikat pengendali kenderaan perdagangan yang mempunyai jumlah kenderaan yang besar dan masih dalam proses menjadualkan pemasangan SLD secara retrofit.
Menurut kementerian itu, kerja-kerja pemasangan retrofit memerlukan perancangan teknikal, penjadualan kenderaan, pengesahan kebolehfungsian serta penyelarasan operasi supaya pematuhan dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan kelangsungan perkhidmatan dan rantaian logistik negara.
Bagaimanapun, MOT menegaskan penangguhan itu tidak bermaksud pengecualian daripada kewajipan pematuhan.
"Semua syarikat pengendali, pemilik kenderaan perdagangan, operator logistik, pengusaha bas dan pihak berkaitan hendaklah terus mengambil langkah segera bagi memastikan kenderaan masing-masing dilengkapi SLD mengikut syarat serta spesifikasi teknikal yang ditetapkan," menurut kenyataan itu pada Selasa.
Menurut kenyataan itu lagi, sebanyak 25 syarikat pemasang SLD retrofit telah dilantik dan maklumat mengenainya boleh dirujuk menerusi portal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Dalam tempoh penangguhan itu, JPJ akan terus melaksanakan pemantauan pematuhan serta tindakan interim yang bersesuaian, termasuk mengeluarkan Notis Temu Siasat atau Notis 114 kepada pemilik atau pengendali kenderaan yang dikenal pasti masih belum mengambil langkah pematuhan sewajarnya.
"Mekanisme ini bertujuan memastikan industri terus bergerak ke arah pematuhan penuh tanpa menunggu sehingga saat akhir," menurut kenyataan itu.
MOT menjelaskan SLD merupakan komponen keselamatan penting bagi mengehadkan kelajuan maksimum kenderaan perdagangan, khususnya kenderaan berat dan kenderaan membawa penumpang.
Menurutnya, pelaksanaan SLD adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengurangkan risiko kemalangan maut, memperkukuh budaya pematuhan serta melindungi keselamatan semua pengguna jalan raya.
Sehubungan itu, kementerian menyeru semua pemain industri supaya menggunakan tempoh berkenaan secara bertanggungjawab bagi mempercepatkan pemasangan SLD, mendapatkan pengesahan kebolehfungsian, memperbaharui dokumen berkaitan dan memastikan maklumat pematuhan dikemas kini kepada JPJ.
MOT turut mengingatkan bahawa selepas tempoh pematuhan berakhir, tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana syarikat, pemilik atau pengendali kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi keperluan pemasangan dan pengesahan SLD mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Pada masa sama, Kementerian turut memaklumkan kerajaan menerusi Belanjawan 2026 menyediakan kemudahan Accelerated Capital Allowance (ACA) bagi membantu syarikat melaksanakan pemasangan SLD.
Justeru, syarikat yang perlu memasang SLD secara retrofit digesa memanfaatkan kemudahan itu dalam tempoh yang disediakan sehingga 31 Disember 2026.