KUALA LUMPUR - Lebih 127,000 panggilan diterima menerusi Talian Kasih 15999 bagi tempoh 2022 hingga Mei lalu, dengan data menunjukkan peningkatan ketara membabitkan kes keganasan rumah tangga.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, sebanyak 9,327 panggilan atau 7.36 peratus aduan dan kes adalah berkaitan isu keganasan rumah tangga.
"Bagi kes keganasan rumah tangga, Talian Kasih 15999 merekodkan trend peningkatan aduan setiap tahun iaitu 323 aduan pada 2022, meningkat kepada 393 aduan (2023), 477 aduan (2024) dan melonjak kepada 750 aduan pada tahun lalu.
"Bagi tahun ini pula, sebanyak 470 aduan berkaitan keganasan rumah tangga sudah diterima setakat Mei lalu," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) mengenai sejauh mana keberkesanan talian bantuan dan pusat sokongan bagi mangsa keganasan rumah tangga termasuk kadar kes yang berjaya menerima intervensi susulan.
Pusat Panggilan Talian Kasih 15999 yang merupakan inisiatif di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berfungsi sebagai saluran bantuan bersepadu bagi menangani pelbagai isu sosial, kebajikan dan keselamatan masyarakat termasuk isu keganasan rumah tangga.
Talian itu menyediakan khidmat aduan, prakaunseling dan maklumat berkaitan isu-isu keganasan rumah tangga serta menyediakan akses kepada orang awam untuk mendapatkan bantuan atau membuat aduan pada bila-bila masa tanpa perlu hadir secara fizikal ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD).
Perkhidmatan berkenaan boleh diakses melalui tiga saluran utama iaitu Talian 15999, aplikasi WhatsApp di talian 0192615999 dan aplikasi mudah alih Talian Kasih.
Mengulas lanjut, Hui Ying memaklumkan, kategori permohonan bantuan kebajikan pula mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 59,589 panggilan (47.04 peratus) diikuti permohonan khidmat kaunseling sebanyak 35,947 panggilan (28.38 peratus).
Ujarnya, isu membabitkan kanak-kanak merekodkan sebanyak 14,965 panggilan (11.81 peratus) manakala baki 16,136 panggilan (12.74 peratus) adalah bagi lain-lain kategori.
Berhubung kadar kejayaan intervensi, Hui Ying berkata, kesemua aduan keganasan rumah tangga yang diterima bagi tempoh 2022 hingga 2025 sudah berjaya diselesaikan sepenuhnya oleh pihak kementerian.
"Bagi aduan yang diterima sehingga Mei lalu, sebanyak 406 aduan berjaya diselesaikan manakala baki 64 aduan lagi masih dalam tindakan susulan,” kata beliau lagi.