Kerajaan digesa segera selesai isu premium insurans e-hailing

Iklan
Kerajaan digesa segera menyelesaikan isu kenaikan premium insurans e-hailing yang didakwa terus membebankan pemandu di seluruh negara. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Kerajaan digesa segera menyelesaikan isu kenaikan premium insurans e-hailing yang didakwa terus membebankan pemandu di seluruh negara.

Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis Digital Malaysia (LEAD Malaysia) dalam kenyataan berkata, isu yang dibangkitkan sejak tahun lalu itu masih belum menunjukkan sebarang penyelesaian konkrit meskipun pelbagai memorandum, rayuan dan kenyataan media telah dikemukakan.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, sehingga memasuki pertengahan tahun 2026, pemandu masih berdepan premium insurans yang semakin meningkat.

Katanya, keadaan itu berlaku walaupun pelbagai pihak sebelum ini memberi jaminan bahawa penyelesaian sedang dirangka dan dibincangkan bersama pihak berkepentingan.

Iklan

"Sehingga kini, apa yang diterima hanyalah kenyataan bahawa isu ini sedang dikaji, diperhalusi dan dibincangkan bersama pihak berkepentingan, persoalannya, sampai bila rakyat perlu menunggu?

"LEAD Malaysia juga ingin mengetahui sama ada kerajaan mempunyai garis masa yang jelas untuk menyelesaikan isu ini.

Iklan

"Tanpa sasaran masa yang telus, kenyataan bahawa isu ini masih dalam kajian hanya akan terus menimbulkan ketidakpastian dalam kalangan pekerja gig," menurut kenyataan itu pada Isnin.

LEAD Malaysia berkata, keadaan tersebut menunjukkan kegagalan kepimpinan dasar membabitkan tiga pihak utama iaitu Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Menurut kenyataan itu, BNM sebagai pengawal selia industri insurans sebelum ini menyatakan komitmen untuk mencari penyelesaian bersama industri.

Bagaimanapun, katanya, pemandu masih berdepan premium yang terus meningkat, pilihan perlindungan semakin berkurangan serta tiada mekanisme yang benar-benar memberi kelegaan kepada mereka.

LEAD Malaysia turut berpandangan MOF perlu memastikan dasar kewangan negara tidak terus menekan golongan pekerja berpendapatan rendah.

Jelasnya, ekonomi gig kini menjadi sumber rezeki kepada ratusan ribu rakyat Malaysia dan peningkatan kos operasi akibat premium insurans tidak boleh dipandang ringan.

Dalam masa sama, LEAD Malaysia berkata, KESUMA perlu membuktikan komitmennya terhadap perlindungan pekerja gig.

"Pekerja gig tidak memerlukan kenyataan yang sekadar menyedapkan hati, sebaliknya mengharapkan tindakan segera bagi mengurangkan beban kos operasi yang semakin meningkat," katanya.

Sehubungan itu, pertubuhan berkenaan menggesa BNM mengumumkan hasil kajian serta pelan tindakan yang mempunyai garis masa jelas.

Selain itu, MOF digesa memimpin penyelarasan dasar bagi memastikan premium insurans e-hailing tidak terus membebankan pekerja gig, manakala KESUMA menjadikan isu berkenaan sebagai keutamaan nasional.

"Ekonomi gig bukan lagi sektor sampingan, sebaliknya menjadi sumber pendapatan utama kepada ramai rakyat Malaysia, setiap kelewatan membuat keputusan memberi kesan kepada kehidupan ribuan keluarga.

"Pemandu e-hailing telah menjalankan tanggungjawab mereka menyediakan perkhidmatan kepada rakyat setiap hari," katanya.

Tambahnya, kini tiba masa kerajaan menunjukkan komitmen dengan membuat keputusan yang jelas.

"Ia perlu mempunyai garis masa yang telus serta menghasilkan penyelesaian yang benar-benar dapat dirasai oleh pekerja gig.

"Cukuplah dengan kenyataan yang menyedapkan hati, sudah tiba masanya kerajaan membuktikan bahawa mereka benar-benar mendengar suara pekerja gig dan bukan sekadar mengeluarkan kenyataan setiap kali isu ini kembali menjadi tajuk berita," katanya.