'Puad Zarkashi nak serang saya, silakan... asalkan pengundi tak terpengaruh' - Onn Hafiz

Iklan
Onn Hafiz (tengah) pada Majlis Penyampaian Amanat Kepada Jentera BN Bahagian Batu Pahat, di Rengit, Batu Pahat.

BATU PAHAT - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak tergugat dengan serangan peribadi yang dilemparkan terhadapnya sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menteri Besar Johor itu sebaliknya berharap pengundi tidak mudah terpengaruh dengan politik berasaskan serangan peribadi.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, tindakan menyerang individu bukanlah budaya politik yang sihat, malah perjuangan dalam pilihan raya seharusnya memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat dan kestabilan negeri.

"Nak serang saya... silakan. Tapi yang penting, pengundi tidak terikut-ikut dengan caranya," katanya ketika diminta mengulas mengenai serangan peribadi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit terhadapnya.

Iklan

Onn Hafiz (tengah) pada Majlis Penyampaian Amanat Kepada Jentera BN Bahagian Batu Pahat, di Rengit.

Onn Hafiz berkata, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi seharusnya mengikuti jejak langkah beberapa pemimpin UMNO yang digugurkan daripada bertanding termasuk bekas ADUN Rengit, Datuk Ayub Jamil.

Iklan

"Datuk Ayub dulu pun tak dicalonkan, tapi beliau tak merajuk. Beliau tak pernah pun keluar nak ngata-ngata, kerana perjuangan ini bukan tentang mana-mana individu ia lebih kepada rakyat juga masyarakat.

"Sebelum ini, kita pun dapat tahu melalui apa dikongsikan oleh Setiausaha Agung UMNO, rupa-rupanya calon yang dia (Mohd Puad) nak ketengahkan ialah anak dia sendiri.

"Maka pelbagai serangan dibuat termasuk ke atas diri saya dan lebih dahsyat lagi, dia boleh kaitkan dengan istana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Amanat Kepada Jentera BN Bahagian Batu Pahat, di Rengit dekat sini, pada Selasa

Hadir sama ialah tiga calon BN iaitu Boo Chin Leong di DUN Penggaram, Mohd Yusla Ismail (Senggarang) dan Mohd Zaidi Japar (Rengit).

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, kemenangan DUN Senggarang dan Rengit perlu dikekalkan selain misi merampas Penggaram perlu dijalankan segera dengan semua jentera dikerah untuk menyantuni semua pengundi.

"Cabaran untuk kita kekalkan kemenangan Zaidi Japar (DUN Rengit dan (Mohd) Yusla (Ismail) (Senggarang) juga bukan satu perkara yang mudah.

"Apatah lagi apabila kita ada cita-cita besar untuk merampas kembali DUN Penggaram selepas kita kalah pada pilihan raya sebelum ini," ujarnya.