KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mempertahankan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming yang menerima kecaman ekoran membuat pengumuman projek-projek menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menteri Kewangan itu berkata, pengumuman projek yang telah diluluskan dalam belanjawan sedia ada tidak menjadi kesalahan.
“Kalau umum sebelum pernamaan calon, itu peraturan mengizinkan jadi tidak melanggar etika. Yang melanggar etika kalau ada sumpah seranah, meghina, mencerca dan menipu, ia (berkait) etika lebih besar. Itu yang kita kena elak.
“Soal yang dikhususkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), saya semak beliau (Kor Ming) umumkan projek yang telah diluluskan. Jadi kalau ikut dari segi peraturan pilihan raya, itu dibolehkan. Yang tidak boleh (adalah) projek baharu.
‘’Ada projek telah diluluskan dalam belanjawan tahun lalu kemudian kita tekankan dan ulang. Itu tidak ada kesalahan,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) mengenai kewajaran dari segi etika tindakan Anwar sendiri dan Kor Ming yang mengumumkan peruntukan sebelum penamaan calon PRN.
Kor Ming pada 25 Jun iaitu dua hari sebelum hari penamaan calon PRN Johor mengumumkan bahawa kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM216.44 juta untuk pembangunan perumahan, kemudahan awam dan kebajikan komuniti di Johor.
Ia termasuk RM2.5 juta untuk pengubahsuaian dan pembaikan di 10 blok di Flat Taman Ungku Tun Aminah di Skudai.
Calon DAP Skudai, J Kartiyani kemudiannya menjadikan pengumuman tersebut sebagai bahan kempennya.
Tahun lalu, Kor Ming juga telah melakukan perbuatan sama menjelang pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning apabila mengumumkan peruntukan sebanyak RM6.13 juta di kawasan Parlimen Tapah dan turut dipertahankan oleh Anwar.
Anwar dilapor berkata, peruntukan yang diumumkan oleh Kor Ming pada 10 April 2025 dibuat sebelum penamaan calon PRK DUN Ayer Kuning.
Mengenai pengumuman projek secara umum, Anwar menegaskan, beliau telah merujuk kepada Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya dan telah menerima pengesahan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa pengumuman projek baharu adalah tidak dibenarkan semasa kempen.
Menurutnya, sebaik sahaja tarikh penamaan calon diumumkan, kempen pilihan raya boleh diteruskan namun tiada sebarang pengumuman projek atau dasar baharu dibenarkan dibuat oleh kerajaan negeri serta kerajaan Persekutuan.
“Sebaik sahaja tarikh penamaan calon diumumkan, kempen boleh diteruskan tetapi tidak ada penggunaan jentera atau pengumuman projek atau dasar baharu negeri. Itu peraturannya, jadi ini terpakai bagi projek-projek baharu.
“Ada masalah-masalah dibangkitkan kerana projek diteruskan, itu kalau ikut peraturan memang dibolehkan penerusan projek yang sedia ada. Tidak boleh menggunakan jentera untuk mengumumkan projek baharu untuk masa kempen, sama ada di peringkat bandar raya atau kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan,” ujarnya.