IPOH – Sebanyak 81.7 peratus golongan bapa di negara ini berdepan cabaran menyeimbangkan tuntutan kerja dan kehidupan keluarga, menurut dapatan tinjauan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Ketua Pengarah LPPKN, Datuk Abdul Shukur Abdullah berkata, tinjauan yang dilakukan pada 2025 itu menyenaraikan lima cabaran utama dalam membentuk kesejahteraan keluarga yang dihadapi golongan bapa pada zaman kini.
Menurutnya, hasil tinjauan mendapati sebanyak 79.7 peratus bapa turut berdepan cabaran peningkatan kos sara hidup manakala 76.4 peratus mengalami tekanan kewangan sehingga terpaksa bekerja lebih daripada satu pekerjaan.
"Cabaran lain termasuk kos pendidikan anak yang semakin meningkat (64.9 peratus) serta isu penjagaan anak (42.7 peratus).
"Semua dapatan ini akan diperhalusi bagi membantu LPPKN merangka program kebapaan yang lebih inklusif dan berkesan,” katanya dalam teks ucapan sempena Sambutan Hari Bapa Peringkat Negeri Perak 2026 di sini pada Selasa.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Bahagian Reproduksi Manusia LPPKN, Dr Mohd Azizuddin Mohd Yussof.
Majlis berkenaan meraikan 450 bapa kalangan pegawai dan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Pasukan Gerakan Am (PGA), disempurnakan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.
Turut hadir, Pengarah LPPKN Perak, Chai Cheng Ho; Pegawai Pemerintah Unit 5 FRU Ipoh, Superintenden Kenneth Oliver Samuel; Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Bidor, Superintenden Azhar Hashim serta Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak), Jamilah Zakaria.
Abdul Shukur berkata, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan LPPKN bagi menyokong kesejahteraan lelaki antaranya Modul Kebapaan yang dilaksanakan di seluruh negara bermula tahun ini.
Katanya, modul tersebut diperkenalkan bagi memperkasakan peranan bapa dalam memimpin institusi keluarga melalui pendekatan psikososial dan nilai kekeluargaan.
“Pelbagai modul pembangunan keluarga sedia ada seperti perkahwinan, keibubapaan serta program terapi turut disediakan termasuk perkhidmatan kaunseling dan program kesihatan reproduktif remaja melalui KAFE@Teen yang melibatkan remaja 13 hingga 24 tahun," katanya.
Sementara itu, Salbiah dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri komited memperkukuh institusi keluarga selaras Visi Perak Sejahtera 2030.
Beliau berkata, peranan bapa amat penting bukan sahaja sebagai ketua keluarga, malah turut menjadi tonggak dalam komuniti dan pembentukan masyarakat yang harmoni.