Kebimbangan wanita jumpa 'telur ular' bertukar jadi peristiwa melucukan

Iklan
Objek menyerupai telur ular yang ditemukan di belakang rumah seorang wanita di Kampung Paya Mengkuang, Chetok, Pasir Mas pada Isnin. - Imej janaan AI

PASIR MAS - Kebimbangan seorang wanita bertukar menjadi peristiwa yang melucukan apabila enam butir objek mencurigakan disangkakan telur ular rupa-rupanya adalah biji cempedak.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Pasir Mas, Kapten (PA) Rohaya Jusoh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2 petang pada Isnin daripada seorang wanita berusia lingkungan 30-an di Kampung Paya Mengkuang, Chetok di sini.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pemanggil mendakwa terlihat satu kelompok objek menyerupai telur ular di kawasan semak belakang rumahnya selepas dimaklumkan oleh individu yang sedang mencari besi buruk di kawasan berkenaan.

"Pemanggil memaklumkan terdapat objek yang kelihatan seakan-akan telur ular dan bimbang ia mungkin menandakan kehadiran reptilia berbahaya berhampiran rumahnya.

Iklan

"Susulan itu, empat anggota APM dikerahkan ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Sebaik tiba di lokasi beliau berkata, anggota APM menjalankan pencarian dan menemui enam butir objek yang sememangnya mempunyai bentuk serta warna hampir menyerupai telur ular.

Iklan

Bagaimanapun tambahnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati objek tersebut bukan telur ular seperti yang disangka.

"Siasatan di lokasi mendapati ia sebenarnya biji cempedak yang dipercayai dibuang di kawasan semak berhampiran," katanya.

Menurut Rohaya, walaupun panggilan itu berakhir dengan situasi yang tidak dijangka, tindakan pemanggil menghubungi pihak berkuasa adalah wajar demi keselamatan keluarga dan penduduk sekitar.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil risiko sekiranya menemui objek atau haiwan yang mencurigakan

"Segera hubungi agensi berkaitan untuk tindakan lanjut," katanya lagi.