JOHOR BAHRU - Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa penggunaan jentera dan program kerajaan bagi tujuan berkempen semakin ketara sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, trend berkenaan bercanggah dengan komitmen kerajaan untuk membanteras rasuah serta mengelakkan pembaziran wang awam di bawah kerajaan Madani ketika ini.
Beliau menambah, ketika PH menjadi pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, sebarang penggunaan jentera atau aset kerajaan bagi tujuan politik sering mendapat kritikan hebat.
“Agensi kerajaan menganjurkan program, kemudian menteri dan calon hadir berkempen dalam program yang sama," katanya pada sidang akhbar Bersama di Taman Sri Tebrau pada Selasa.
Ahli Parlimen Pandan itu mendedahkan, beliau ada menerima aduan daripada kakitangan kerajaan yang mendakwa terdapat program kementerian melibatkan kakitangan universiti awam dan hospital sehingga menjejaskan operasi sedia ada.
"Saya sendiri pernah berada dalam kerajaan dan saya tahu perkara seperti ini boleh berlaku.
"Sebab itu ketika menjadi menteri dahulu saya mengarahkan kementerian supaya tidak mendekati mana-mana kempen politik," ujarnya.
Rafizi berkata, keadaan itu lebih membimbangkan ketika kerajaan sendiri sedang melaksanakan langkah penjimatan termasuk mengurangkan peruntukan beberapa kementerian akibat tekanan fiskal dan beban subsidi.
"Kerajaan kata perlu berjimat, potongan dibuat kepada pelbagai kementerian termasuk kesihatan dan pendidikan tinggi.
"Tetapi pada masa sama, kita lihat agensi kerajaan muncul dalam program-program kempen di sana sini," katanya lagi.