Dewan Rakyat ucap takziah kepada Takiyuddin atas pemergian abang kandung

Iklan
Takiyuddin

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat pada Selasa merakamkan ucapan takziah kepada Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan atas pemergian abang kandung beliau pada Isnin.

Ucapan takziah itu disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor bagi pihak seluruh Ahli Dewan Rakyat dan Parlimen ketika memulakan persidangan.

Iklan
Iklan

“Saya ingin memaklumkan bahawa abang kandung kepada Yang Berhormat Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Ahli Parlimen Kota Bharu telah kembali ke rahmatullah pada malam tadi.

“Saya bagi pihak ahli-ahli dewan ini dan bagi pihak Parlimen seluruhnya ingin merakamkan ucapan takziah kepada Datuk Seri Takiyuddin atas pemergian abang kandungnya,” katanya.

Iklan

Beliau turut mengajak semua ahli Parlimen mendoakan agar ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas roh arwah serta menempatkannya dalam kalangan orang yang soleh dan beriman.

Sementara itu, sebelum memulakan Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri, Ramli mengingatkan semua ahli Parlimen supaya memastikan perjalanan persidangan berlangsung secara tertib dan berhemah.

Iklan

Beliau berkata, semua ahli Parlimen perlu mematuhi Peraturan Mesyuarat 35, 36 dan 37 yang menyentuh mengenai masa dan cara bercakap, isi ucapan serta tatacara ketika berbahas.

Katanya, ahli Parlimen juga diingatkan supaya mematuhi Peraturan Mesyuarat 36(10)(c) yang melarang penggunaan perkataan yang boleh menyakitkan hati selain tidak mengganggu ucapan ketika persidangan berlangsung.