NARATHIWAT - Dua rakyat Malaysia yang menjadi mangsa letupan bom berhampiran Mukim Phrai Wan, Daerah Tak Bai, Wilayah Narathiwat di sini pada Isnin mahu mendapatkan rawatan di Kota Bharu.
Menurut Majlis Perbandaran Bandar Sungai Golok dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kedua-dua mangsa berhasrat untuk meneruskan rawatan di hospital di Kota Bharu.
Sehubungan itu, Hospital Naradhiwas Rajanagarindra telah berkoordinasi dengan Hospital Sungai Golok sebagai pusat penyelarasan bagi menguruskan proses pemindahan mangsa untuk meneruskan rawatan sebagaimana diminta.
Terdahulu, Datuk Bandar Sungai Golok, Saliha Mayuso telah mengetuai rombongan pentadbiran dan ahli majlis perbandaran melawat dua pelancong Malaysia yang cedera akibat letupan bom yang dipasang di dalam pembetung berhampiran persimpangan tiga Sapom, laluan masuk ke daerah Tak Bai, di Kampung Phrai Wan, Mukim Phrai Wan, Daerah Tak Bai di sini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11.41 pagi, sebelum kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai Abdullah Syarapi Abd Rahman, 45, dan Muhammad Yusri Udin, 38, dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Naradhiwas Rajanagarindra, Daerah Mueang, Wilayah Narathiwat.
Turut hadir menziarahi mangsa ialah Timbalan Gabenor Wilayah Narathiwat, Chakrit Suranatkul, Panglima Pasukan Petugas Khas Narathiwat, Mejar Jeneral Yot Awut Phuengphak, Ketua Polis Daerah Mueang Narathiwat, Kolonel Polis Pratchaya Baitae, serta wakil agensi berkaitan bagi memantau keadaan mangsa dan memberikan sokongan moral.
Sementara itu, Saliha bersama rombongannya turut bertanya khabar, mendapatkan maklumat mengenai keadaan mangsa serta mendengar keperluan awal mereka.
Beliau turut menyampaikan rasa prihatin kepada mangsa dan keluarga mereka, selain menegaskan bahawa semua agensi di Wilayah Narathiwat bersedia memberikan bantuan serta penjagaan terbaik kepada mangsa.
Timbalan Gabenor Wilayah Narathiwat, Chakrit Suranatkul, memberi jaminan bahawa pihak berkuasa akan memberikan bantuan dan pemulihan sebaik mungkin kepada mangsa yang cedera.