Jenazah anak hampir tak dapat dikebumi

Iklan
Perkongsian Nurul Huda di Threads mengenai pengalaman proses pengebumian anaknya.

SHAH ALAM – Isu tular membabitkan dakwaan jenazah tidak dapat dikebumikan mendorong seorang wanita tampil berkongsi pengalaman pahit apabila mendakwa pernah melalui situasi sama sehingga terpaksa merayu bagi memastikan jenazah anak sulungnya dapat disemadikan.

Menerusi hantaran di Threads, Nurul Huda Ruslan mendakwa, kejadian berkenaan berlaku di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana pada Oktober tahun lalu.

Iklan
Iklan

Anaknya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang bagi menjalani bedah siasat kira-kira jam 9 pagi sebelum proses itu selesai sekitar jam 2 petang dan jenazah kemudiannya diuruskan oleh pasukan Unit Khas Van Jenazah (UKVJ).

"Dipendekkan cerita, jenazah gerak dari Klang jam 5 petang dan dijangka sampai kubur dalam jam 6.05 ke 6.10 petang, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Ukay Perdana sebab saya tinggal di kawasan itu.

Iklan

''Waktu itu di Klang hujan dan jalan pula sesak. Sewaktu dalam perjalanan pihak kubur beritahu selepas jam 6 petang, jenazah sudah tidak boleh kebumi sebab tanah perkuburan tutup jam 6 petang.

''Saya terus hubungi pihak tanah perkuburan yang diuruskan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan pihak masjid untuk merayu supaya diberi kelonggaran sehingga jam 6.30 petang, namun permintaan itu ditolak," katanya.

Iklan

Nurul Huda, 43, turut mendakwa, pihak masjid juga meminta jenazah disimpan dahulu di tempat lain sebelum dikebumikan.

''Bayangkan perasaan saya sebagai seorang ibu. Anak saya dahlah anak yatim, sampai hati mereka," ujarnya.

Nurul Huda mendakwa keadaan menjadi lebih memilukan apabila jenazah anaknya sudah tiba di kawasan tanah perkuburan dan liang lahad telah disediakan, namun penggali kubur memaklumkan pengebumian tidak dapat diteruskan kerana belum mendapat kebenaran.

Menurutnya, bagi memastikan urusan pengebumian tidak terus tertangguh, dia mengambil keputusan menanggung sendiri segala risiko dan membayar wang tambahan kepada penggali kubur supaya jenazah anaknya dapat dikebumikan pada hari sama.

''Saya suruh penggali kubur kebumikan juga jenazah anak saya, sampai saya cakap kat penggali kubur itu kalau ada apa-apa (perkara berbangkit) saya tanggung.

"Saya ada video masa jenazah anak saya dah sampai sebelah lot kubur yang dah dikorek tapi mereka tak benarkan kebumi. Masa itu kawan-kawan anak saya dengan anak-anak saya yang lain semua menangis.

''Kejadian ini sangat memalukan kepada semua saudara-mara yang datang dan sangat menyedihkan. Ya ALLAH apa nak jadi dengan agama kita. Sampai nak mati pun kena ikut waktu pejabat," kongsinya lagi.

Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan berlakunya pertikaian dalam pengurusan jenazah sehingga proses pengebumian tertangguh lebih sejam.

Hantaran itu turut mendakwa sebuah badan kebajikan menguruskan jenazah atas permintaan waris, selain timbul isu berkaitan permit pengebumian serta caj RM1,400 yang dikatakan dikenakan oleh pihak masjid.

Susulan itu, beberapa pihak tampil mengeluarkan kenyataan masing-masing bagi menjelaskan insiden berkenaan, namun waris menafikan beberapa dakwaan yang terkandung dalam penjelasan tersebut.