SEREMBAN - Kerajaan menyasarkan sebanyak 25,000 individu bakal menerima manfaat di bawah program Bakat Madani dalam tempoh setahun mulai pertengahan tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program berkenaan bukan sahaja menyediakan program pembangunan kemahiran, tetapi juga menjamin peluang pekerjaan berkualiti serta mobiliti sosial yang lebih baik.
Menurutnya, inisiatif itu merupakan ikhtiar Nasional yang menghimpunkan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan(GLIC), Syarikat Berkaitan Kerajaan(GLC) dan Petronas.
"Selain daripada jabatan kerajaan yang mengambil graduan atau lulusan dari TVET dan lain-lain, merekalah yang sebenarnya telah bersama-sama mengagaskan program ini dan berjaya menyediakan peluang keseluruhannya kepada seramai 25,000 untuk anak-anak ini.
"Kalau dilihat, tidak banyak negara yang dapat memberikan ruang dan kesempatan seperti ini. Jadi ambilah peluang ini," katanya ketika berucap pada majlis Peluncuran Bakat Madani di sini pada Isnin.
Beliau berkata, berteraskan prinsip Modal Ihsan, Bakat Madani turut memperluas akses kepada latihan, peningkatan kemahiran dan peluang pekerjaan kepada golongan rentan, termasuk isi rumah B40, asnaf, individu yang memerlukan peluang kedua serta bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia yang sedang melalui fasa peralihan kerjaya.
Jelasnya, tumpuan diberikan kepada sektor-sektor bernilai tinggi dan berpotensi besar seperti semikonduktor, tenaga boleh baharu, ekonomi digital dan pembuatan termaju.
Namun ujar Anwar, perkara ini tidak dapat dilaksanakan sekiranya sistem dan politik negara berada dalam keadaan tidak stabil.
"Kita bersatu, aman dalam kerajaan Madani ini dan kita tumpu perhatian, merangka, perkara ekonomi yang boleh menjamin keselesaan hidup rakyat," katanya.
Tambah beliau, inisiatif berkenaan merupakan antara iktiar kerajaan dan komitmen bersama rakan-rakan pengurusan yang terlatih dalam bidang korporat serta pengurusan.
Namun katanya, bagi menjamin kehidupan rakyat yang lebih baik, perlunya ada inisiatif-inisiatif baharu yang diperkenalkan antaranya memastikan golongan muda diberi latihan dan pendedahan dalam pelbagai bidang.
Dalam pada itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pembangunan bakat kini perlu dilihat sebagai sebahagian daripada infrastruktur ekonomi negara yang sama pentingnya dengan pembangunan fizikal seperti pelabuhan, lapangan terbang dan grid tenaga.
"Seperti mana kita membina infrastruktur fizikal untuk menggerakkan ekonomi, kita juga perlu membina modal insan yang mampu menggerakkannya.
"Di sinilah institusi-institusi terbesar negara memainkan peranan yang amat penting Pada akhir tahun 2025, Petronas dan GLC, telah memberikan pekerjaan kepada 236,000 orang rakyat serta menyokong 44,000 syarikat vendor di seluruh negara,"katanya.
Amir Hamzah turut menegaskan bahawa institusi besar negara ini mempunyai tanggungjawab lebih luas bukan sekadar menjana pulangan, sebaliknya perlu memainkan peranan dalam pembangunan bakat nasional sebagai sebahagian daripada amanah terhadap rakyat.