[VIDEO] PRN Johor: Tiada arahan ahli Bersatu undi parti lain di kerusi PN tidak bertanding

Iklan

MUAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan mengeluarkan sebarang arahan kepada ahli parti itu supaya mengundi mana-mana parti lain di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendirian Bersatu sejak dahulu kekal sama iaitu hanya menyokong calon PN di kawasan yang ditandingi gabungan itu.

Iklan
Iklan

Muhyiddin berucap pada MajlisMajlis Sembang Santai DUN Bukit Kepong di Kampung Jayor, pada Isnin.

"Saya tidak akan buat arahan sebegitu kerana ada asas-asas tertentu yang kita guna pakai. Polisi, dasar dan pendekatan kita sejak dulu memang begitu. Saya tak sama dengan parti lain," katanya selepas Majlis Sembang Santai DUN Bukit Kepong di Kampung Jayor, Pagoh di sini, pada Isnin.

Iklan

Muhyiddin berkata, beliau tidak mahu mengelirukan pengundi dengan meminta mereka menyokong parti lain di kawasan yang tiada calon PN.

"Kita jangan mencelarukan pemikiran pengundi. Yang ini sokong, yang itu jangan sokong. Prinsip kita jelas," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Bersatu akan mengambil pendekatan seperti PAS yang mengarahkan ahlinya mengundi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi yang tidak ditandingi PN.

Sebelum itu pada Ahad, Pas mengeluarkan arahan kepada semua ahli dan penyokong parti itu untuk mengundi calon UMNO-Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, arahan tersebut dikeluarkan bagi memastikan sokongan diberikan kepada UMNO-BN di kawasan yang tidak mempunyai calon daripada gabungan berkenaan.

Jelas Ahli Parlimen Pagoh itu lagi bagi kerusi yang tiada calon Bersatu atau PN, keputusan sama ada untuk keluar mengundi atau tidak adalah hak individu.

"Ada yang buat keputusan begitu, itu hak mereka. Kadang-kadang mereka tidak mahu keluar mengundi kerana calon yang bertanding bukan parti yang mereka sokong.

"Saya tidak akan paksa atau keluarkan arahan sedemikian," katanya.