Talian khas untuk mangsa keganasan rumah tangga sepanjang PKP

Iklan
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendengar pertanyaan pemberita pada sidang media di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mewujudkan talian khas bagi membantu mangsa keganasan rumah tangga serta penderaan kanak-kanak.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, memandangkan rakyat Malaysia berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan mengambil maklum wujudnya isu-isu yang mungkin menjejaskan keharmonian rumah tangga.

Iklan
Iklan

"Bagi mereka yang memerlukan bantuan diminta menghubungi Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-261 5999. PDRM akan mengambil tindakan segera.

"Malah jika ada aduan kepada polis, rakyat boleh membuat aduan terus melalui WhatsApp. Polis akan mengambil tindakan berdasarkan aduan yang diterima mereka," katanya pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP di sini hari ini.

Iklan

Mengulas mengenai penyaluran bantuan bekalan makanan, beliau berkata, sepanjang tempoh PKP, penyaluran bantuan dalam bentuk bakul makanan telah disalurkan kepada 225,871 isi rumah.

"Jumlah bantuan ini memberi manfaat kepada hampir 1 juta rakyat Malaysia. Proses bantuan ini masih diteruskan oleh kerajaan.

Iklan

"Perlu diingatkan bahawa bantuan bakul makanan ini diberikan kepada mereka yang layak. Jika ada yang belum menerimanya, saya percaya mereka akan terima kerana proses pengagihan masih berjalan," katanya.

Menyentuh isu pemberian bakul makan di Sungai Lui, Hulu Langat, Ismail Sabri menjelaskan bahawa sehingga semalam, 1,000 bakul makanan telah dihantar kepada 750 keluarga.