KUALA LUMPUR - Isu berkaitan hutang dipercayai menjadi punca seorang lelaki bertindak membakar sebuah motosikal dalam kejadian di Flat Sri Johor, Cheras di sini, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Rosdi Daud berkata, suspek warga tempatan berusia lewat 30-an itu diberkas dalam satu serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di hadapan sebuah kediaman di Desa Pandan, Kuala Lumpur pada jam 8.29 malam, 27 Jun lalu.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek disyaki terlibat dalam kejadian khianat dengan api membabitkan sebuah motosikal yang berlaku di Flat Sri Johor pada kira-kira jam 1.30 pagi, 24 Jun lalu.
"Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada isu hutang antara suspek dan mangsa.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, suspek kini direman selama empat hari sehingga 1 Julai ini bagi membantu siasatan lanjut.