NEW DELHI – Bekas Perdana Menteri Bangladesh yang digulingkan, Sheikh Hasina berikrar untuk kembali semula ke tanah air pada tahun ini meskipun sudah dijatuhi hukuman mati.
Hasina, 78, yang melarikan diri ke India selepas gelombang protes pelajar menyingkirkannya pada Ogos 2024 dengan angkuh menyatakan bahawa dirinya beliau tidak gentar dan sedia mengatasi segala halangan dan konspirasi untuk pulang ke tanah air.
"Hukuman yang diputuskan ke atas saya sememangnya tidak sah, tidak berperlembagaan dan bermotifkan politik. Saya tidak takut mati," katanya menerusi wawancara bersama stesen penyiar di New Delhi, NDTV.
Pada November 2025, Hasina disabitkan bersalah oleh sebuah mahkamah di Dhaka atas tuduhan menghasut, mengarahkan pembunuhan dan gagal menghalang tindakan kekerasan ketika rusuhan ganas pada 2024.
Menurutnya, rancangan tentang kepulangannya tidak didorong oleh cita-cita peribadi sebaliknya bertujuan memulihkan hak politik, demokrasi, kedaulatan undang-undang dan semangat Perang Pembebasan Bangladesh 1971.
Beliau turut mempertahankan Liga Awami selepas kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tarique Rahman mengekalkan larangan terhadap semua aktiviti parti itu.
"Ia bukan sekadar organisasi di atas kertas, tetapi satu kuasa politik yang berakar dalam sejarah Bengal dan identiti bangsa Bengali," katanya yang menuntut larangan tersebut ditarik balik dan membebaskan tahanan politik.
Bagaimanapun, pemerintah menegaskan prosiding itu adalah sebahagian daripada usaha memastikan individu yang didakwa terbabit dalam jenayah pada penghujung pentadbiran Hasina dihadapkan ke muka pengadilan. - Agensi