PASIR MAS -"Kami hendak sangat jumpa penerima kornea mata anak untuk mengubat kerinduan kepada arwah."
Demikian kata Sharulanuar Baharom, 56, bapa kepada Allahyarham Muhammad Jaris Amirul Sharulanuar, 29, yang maut akibat kemalangan jalan raya semasa pulang dari bekerja di Lebuh raya Link Kedua arah Selatan, Johor pada 23 Mei lalu.
Dalam kejadian terbabit anak sulung daripada enam beradik itu yang bekerja sebagai penyelia keselamatan tapak dipercayai terbabas ketika menunggang motosikal berhampiran susur masuk ke Iskandar Puteri.
Menurut Sharulanuar, dia serta isteri, Nor Afini Din, 42, telah dimaklumkan bahawa minggu lepas kornea kedua-dua belah mata milik anak mereka itu telah didermakan kepada dua penerima iaitu seorang wanita berusia 21 tahun di Johor dan lelaki dari Sungai Buluh, Selangor berumur 56 tahun.
"Kami berharap sangat untuk berjumpa dengan kedua-dua penerima ini. Kami hendak tengok sinar pada mata milik arwah. Kami sangat rindukan dia walaupun reda tetapi kesedihan kehilangannya sangat dirasai," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah di lorong kubur Taman Mekasar, Kasar di sini pada Isnin.
Sebelum itu, pasangan tersebut menerima kunjungan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang diwakili oleh Timbalan Pengarah negeri, Nor Aziemah Ismail.
Dalam kunjungan tersebut Nor Aziemah telah menyampaikan sumbangan Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM3,000 dan Faedah Orang Tanggungan, RM1,952 sebulan seumur hidup.
Sharulanuar berharap penerima tersebut sudi berjumpa mereka walaupun sekejap untuk melepaskan kerinduan kepada arwah.
"Jika mereka (penerima) tidak sudi berjumpa kami, tidak mengapa. Tiada paksaan.
Beliau serta isteri telah menjadi pengikrar penderma organ bersama yang dibuat pada tahun 2008.
Ujarnya, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada anak-anak termasuk arwah dan mereka semua menyambut baik hasrat itu.
"Kata mereka dengan cara tersebut walaupun sudah meninggal dunia, namun masih boleh membantu orang yang memerlukan sepanjang hayat.
"Disebabkan itu apabila kemalangan ini menimpa arwah, kami berdua bersetuju mendermakan kornea matanya. Ini kerana jika melibatkan kematian mengejut hanya organ tertentu seperti mata dan tisu kulit sahaja dapat didermakan," katanya.