Fathul Bari antara tiga bekas pengarah gagal tangguh bayar hampir RM500,000 tiket jemaah umrah

Iklan
Mahkamah Tinggi memerintahkan Fathul Bari bersama dua bekas pengarah dan pemegang saham sebuah syarikat pelancongan membayar hampir RM500,000 berhubung kes saman sivil bayaran balik umrah, enam tahun lalu. Foto hiasan

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin memerintahkan Ketua UMNO Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya bersama dua bekas pengarah dan pemegang saham sebuah syarikat pelancongan membayar hampir RM500,000 berhubung kes saman sivil bayaran balik umrah, enam tahun lalu.

Hakim, Leong Wai Hong memutuskan demikian selepas menolak permohonan mereka untuk menangguhkan pelaksanaan bayaran sementara menunggu rayuan didengar di Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Iklan
Iklan

Selain Fathul Bari, dua lagi bekas pengarah dan pemegang saham Rehla Travel Services Sdn Bhd ketika itu ialah Sekh Mohd Fazzli Sekh Mohd Ruzi dan Wan Azizul Wan Yusoff.

“Oleh itu, permohonan ditolak dengan kos RM5,000," kata hakim itu pada prosiding yang dihadiri peguam, Mohd Shahril Madisa yang mewakili ketiga-tiga individu berkenaan manakala peguam, Teoh Bi Shan mewakili KRS Travel Sdn Bhd.

Iklan

KRS Travel adalah sebuah syarikat yang menguruskan perkhidmatan umrah dan haji untuk jemaah Malaysia ke tanah suci Makkah.

Pada 9 Disember 2025, hakim sama turut menolak rayuan Fathul Bari bersama dua bekas pengarah dan pemegang saham syarikat itu untuk mengetepikan keputusan itu.

Iklan

Keputusan itu dibuat susulan kegagalan mereka memulangkan bayaran kepada jemaah umrah selepas perjalanan ke tanah suci dibatalkan akibat pandemik Covid-19.

Berdasarkan fakta kes, pada Februari 2020, KRS Travel selaku plaintif telah membayar RM492,480 kepada Rehla Travel untuk mendapatkan tiket penerbangan bagi jemaah ke Madinah dan Jeddah.

Rehla Travel selaku ejen tiket berlesen untuk Malaysia Airlines Berhad (MAB) sejak 2019, membuat bayaran untuk mendapatkan tiket perjalanan berkenaan.

Malangnya, Covid-19 menyebabkan penerbangan itu dibatalkan namun MAB membuat bayaran balik secara penuh kepada Rehla Travel.

Bagaimanapun, tiga pengarah syarikat itu enggan memulangkan wang jemaah haji kepada KRS Travel.

Keterangan yang dikemukakan di mahkamah menunjukkan bahawa bayaran balik berjumlah RM1.33 juta dan RM492,480 itu telah diterima oleh Rehla Travel.

Susulan itu, plaintif berpendirian bahawa, wang RM492,480 berkenaan perlu dipulangkan semula kepada pelanggannya.

Bagaimanapun, defendan enggan berbuat demikian dengan menyatakan mereka hanya bertindak sebagai ejen tiket bagi MAB, selain bayaran itu telah dibuat kepada MAB.

Dalam keterangan, defendan menegaskan, plaintif sepatutnya mengemukakan tuntutan untuk mendapatkan semula wang terhadap MAB dan bukannya terhadap Rehla Travel.

Fathul Bari dan dua lagi pengarah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 8 Januari lalu.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen mendapati, penipuan telah dilakukan oleh defendan atas alasan wang jemaah yang dibayar oleh plaintif kepada Rehla Travel, yang kemudiannya disalurkan kepada MAB, sebenarnya telah dipulangkan oleh MAB.