Bekas OCPD Temerloh diarah bela diri 46 pertuduhan rasuah

Iklan
Hakim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Azhar di akhir kes pendakwaan.

KUANTAN - Mahkamah Sesyen Kuantan pada Isnin memerintahkan bekas Ketua Polis Daerah (OCPD) Temerloh, Mohd Azhar Mohd Yusoff membela diri atas 46 pertuduhan menerima rasuah bernilai keseluruhan RM69,600 tanpa balasan, antara Mac 2019 hingga Januari 2023.

Hakim Sazlina Safie membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Azhar, 56, di akhir kes pendakwaan.

Iklan
Iklan

Sazlina dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati kesemua 46 pertuduhan yang dikemukakan terhadap tertuduh adalah teratur dan sah serta tidak melanggar Seksyen 164 Kanun Tatacara Jenayah atau Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie selepas membuat penilaian maksimum terhadap keseluruhan kes pendakwaan termasuk keterangan 20 saksi pendakwaan.

Iklan

"Mahkamah juga memutuskan bahawa anggapan di bawah Seksyen 53 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah terpakai terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan prosiding pembelaan pada 19 Ogos depan dan Mohd Azhar memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.

Iklan

Pada 7 September 2023, Mohd Azhar mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan menerima rasuah tanpa balasan itu yang didakwa diterima melalui transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke akaun bank yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai pegawai kanan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan membabitkan penerimaan wang antara RM100 hingga RM5,600 daripada empat individu sebagai dorongan untuk melindungi mereka daripada dikenakan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas pelbagai kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan Ifa Sirrhu Samsudin, manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Bob S Arumugam dan M Athimulan.