125 mahasiswa UTM terima Bantuan Lestari Siswa Madani

Iklan
Norliza (empat dari kanan) menyampaikan Bantuan Lestari Siswa Madani PTPTN kepada 125 pelajar UTM di Dewan Sri Perdana, Kolej Perdana, UTM Skudai di sini pada Jumaat.

Norliza (empat dari kanan) menyampaikan Bantuan Lestari Siswa Madani PTPTN kepada 125 pelajar UTM di Dewan Sri Perdana, Kolej Perdana, UTM Skudai di sini pada Jumaat.

JOHOR BAHRU - Seramai 125 mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima inisiatif Bantuan Lestari Siswa Madani dengan jumlah keseluruhan bernilai RM62,500 daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Iklan
Iklan

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), pihaknya sentiasa komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi bagi menjaga kebajikan pelajar, khususnya peminjam PTPTN.

Katanya, Bantuan Lestari Siswa Madani diadakan untuk menyalurkan bantuan sara hidup kepada pelajar yang kurang berkemampuan sekali gus membantu meringankan kewangan pelajar di institusi pendidikan tinggi (IPT).

Iklan

"Melalui program ini, PTPTN menyampaikan sumbangan berjumlah RM62,500 kepada 125 orang pelajar di UTM yang merupakan peminjam PTPTN daripada golongan kurang berkemampuan.

"Setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara one-off yang akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing mulai 1 Julai 2026.

Iklan

"Inisiatif ini bertujuan membantu pelajar menangani cabaran kewangan serta memberi sokongan tambahan dalam tempoh pengajian di IPT.

"Dalam usaha meningkatkan akses pendidikan tinggi kepada masyarakat tanpa mengira kaum, latar belakang mahupun status sosioekonomi. PTPTN telah melaksanakan pelbagai program berimpak tinggi seperti program endowment yang membolehkan dana diterima daripada pelbagai pihak untuk disalurkan kepada pelajar yang memerlukan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada pelajar UTM di Dewan Sri Perdana, Kolej Perdana, UTM Skudai di sini pada Jumaat.

Penerima Bantuan Lestari Siswa Madani bergambar bersama Norliza (tengah, belakang) dan Mohd Shafry (lima dari kiri).

Turut hadir Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim; Ketua Pegawai Kewangan PTPTN, Azhar Ahmad dan Pengurus Besar Kanan PTPTN, Esrifaridz Subohi.

Norliza berharap bantuan itu menjadi pemangkin semangat kepada para pelajar untuk terus berusaha dengan lebih gigih dalam mencapai kecemerlangan akademik.

"Kejayaan yang diraih kelak bukan sahaja membuka peluang kepada pekerjaan yang lebih baik, malah berupaya meningkatkan taraf hidup serta membantu mengubah nasib keluarga ke arah kehidupan yang lebih sejahtera dan selesa," katanya.

Menurut Norliza, PTPTN sentiasa komited memperkukuh budaya penabungan dalam kalangan masyarakat, khususnya ibu bapa, sebagai langkah persediaan awal bagi membiayai pendidikan tinggi anak-anak melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Katanya, aspirasi PTPTN adalah untuk mengubah minda masyarakat daripada bergantung sepenuhnya kepada pinjaman kepada membudayakan amalan menabung sebagai keutamaan.

"Ia sekali gus dapat mengurangkan beban kewangan serta melahirkan generasi yang lebih bersedia dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

"Menerusi Simpan SSPN, pelbagai keistimewaan dan manfaat ditawarkan. Antaranya ialah pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.

"Selain itu, menerusi Belanjawan 2025, kerajaan juga bersetuju kriteria pemberian Geran Sepadan ke atas simpanan dalam akaun Simpan SSPN Prime, bagi pelajar yang melanjutkan pengajian di IPT diperluaskan kepada keluarga berpendapatan melebihi RM4,000 sehingga RM6,000 bagi tempoh dua tahun di bawah Inisiatif Geran Padanan Ihsan (GAPAI).

"Pendeposit yang layak kini boleh memohon Geran Sepadan sehingga RM5,000 untuk satu keluarga," katanya.

Ringankan beban

Sementara itu, mahasiswa yang ditemui melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kerana bantuan yang disalurkan PTPTN disifatkan mampu meringankan beban kos sara hidup mereka.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia, Mohamad Anasrol Abdullah, 21 berkata, bantuan tersebut amat bermakna kepada penerima memandangkan kos sara hidup dan harga barangan yang semakin meningkat.

Katanya, ia juga membantu meringankan beban keluarganya yang hanya ditanggung ibu yang bekerja sebagai Penoreh Getah, setelah ayahnya meninggal dunia sejak tahun 2015.

"Bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu menampung perbelanjaan harian serta memberikan ketenangan kepada saya.

"Harapan saya, semoga pihak PTPTN dapat membantu semua pelajar dan meneruskan inisiatif ini sebagai salah satu semangat untuk pelajar lain untuk meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Bioinformatik), Tey Xin Yi, 22 memaklumkan PTPTN bukan sekadar agensi pemberi pinjaman, malah sebuah organisasi yang prihatin terhadap kebajikan pelajar yang memerlukan.

XIN YI

"Saya harap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang, bukan hanya menyediakan pinjaman tetapi turut membantu pelajar yang memerlukan.

"Bantuan ini sangat bermanfaat kepada pelajar B40 seperti saya terutama ketika hujung semester ini,” katanya.

Seorang lagi penerima, pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Siti Maizatul Mazira Puasah, 24 pula berharap lebih ramai pelajar yang berdepan kesukaran kewangan dapat menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan.

SITI MAIZATUL MAZIRA

"Saya sangat berterima kasih kepada PTPTN kerana memilih saya sebagai penerima bantuan ini. Saya berharap bantuan seperti ini dapat terus membantu pelajar lain yang menghadapi masalah sama," katanya.