Asia Tenggara tarikan pelabur global

Iklan
Tumpuan pelabur beralih kepada sektor yang bakal membentuk ekonomi masa depan seperti AI, semikonduktor, pusat data, pengkomputeran awan, teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui. Gambar kecil: Abdul Rahim

KETIKA ekonomi dunia dibelenggu ketidaktentuan geopolitik, perang perdagangan dan pertumbuhan perlahan di beberapa kuasa ekonomi utama, Asia Tenggara muncul sebagai destinasi pilihan baharu pelabur global.

Daripada syarikat teknologi gergasi hinggalah dana pelaburan antarabangsa, semakin ramai pelabur melihat Asia Tenggara sebagai rantau yang menawarkan gabungan pertumbuhan ekonomi, kestabilan relatif dan potensi pasaran luas.

Iklan
Iklan

Felo Kanan Institut Analitik Data Raya dan Kecerdasan Buatan (IBDAAI), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya Dr Abdul Rahim Ridzuan berpandangan, perkembangan itu bukan lagi sekadar trend sementara sebaliknya mencerminkan perubahan besar dalam landskap ekonomi global.

Menurut beliau, Asia Tenggara tidak lagi dilihat sekadar alternatif kepada ekonomi besar seperti China atau Eropah malah berkembang sebagai rantau yang mempunyai kekuatan ekonomi tersendiri.

Iklan

“Asia Tenggara memiliki lebih 680 juta penduduk, kelas pertengahan yang semakin berkembang serta kadar pertumbuhan ekonomi yang relatif lebih tinggi berbanding banyak ekonomi maju.

“Strategi China+1 yang diamalkan syarikat multinasional bagi mempelbagaikan rantaian bekalan turut mempercepatkan kemasukan pelaburan asing langsung (FDI) ke negara-negara ASEAN,” katanya kepada Sinar Bisnes.

Iklan

Beliau berkata, ketidaktentuan geopolitik global dan perang perdagangan yang berlarutan menyebabkan syarikat antarabangsa mula mencari lokasi baharu yang lebih stabil untuk pengembangan operasi.

Menurutnya, aliran masuk FDI yang terus mencatat rekod baharu membuktikan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap prospek pertumbuhan jangka panjang Asia Tenggara semakin kukuh.

Lebih menarik, pelaburan yang mengalir ke Asia Tenggara hari ini tidak lagi tertumpu kepada sektor pembuatan tradisional atau industri berintensifkan buruh semata-mata.

Sebaliknya, tumpuan pelabur beralih kepada sektor yang bakal membentuk ekonomi masa depan seperti kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, pusat data, pengkomputeran awan, teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.

“Pelaburan ke Asia Tenggara kini didominasi syarikat multinasional dalam sektor teknologi, semikonduktor, AI, pusat data dan pembuatan berteknologi tinggi.

“Selain itu, dana institusi seperti dana pencen, dana kekayaan negara dan syarikat pengurusan aset antarabangsa turut memainkan peranan yang semakin besar,” katanya.

Jelas Abdul Rahim, pertimbangan pelabur hari ini juga jauh berbeza berbanding sedekad lalu.

Jika sebelum ini kos buruh murah menjadi faktor utama, kini pelabur lebih memberi perhatian kepada kestabilan politik, kecekapan institusi, kesiapsiagaan digital, kualiti tenaga kerja serta komitmen sesebuah negara terhadap agenda kelestarian.

Dalam era ekonomi digital, negara yang berjaya membina ekosistem inovasi yang kukuh mempunyai kelebihan lebih besar menarik pelaburan bernilai tinggi.

Dalam persaingan merebut modal global, Malaysia masih memiliki beberapa kelebihan strategik yang membezakannya daripada negara jiran.

Abdul Rahim berkata, negara mempunyai asas ekonomi yang kukuh melalui sistem kewangan yang stabil, infrastruktur yang baik, tenaga kerja berkemahiran tinggi, penguasaan bahasa Inggeris serta kedudukan penting dalam rantaian bekalan semikonduktor global.

“Malah Malaysia kini muncul sebagai hab penting bagi pelaburan pusat data, AI dan pengkomputeran awan.

“Pelaburan besar oleh syarikat global dalam sektor ini membuktikan keyakinan pelabur terhadap negara,” katanya.

Namun beliau mengingatkan kejayaan sebenar bukan sekadar diukur melalui nilai pelaburan yang diumumkan tetapi sejauh mana pelaburan tersebut mampu meningkatkan produktiviti ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, sektor ekonomi digital dijangka menjadi penerima manfaat terbesar daripada aliran modal global yang semakin meningkat.

“Permintaan terhadap pusat data, perkhidmatan awan, aplikasi AI dan penyelesaian digital dijangka terus berkembang seiring transformasi ekonomi dunia.

“Malaysia mempunyai peluang besar untuk menjadi hab digital serantau sekiranya momentum pelaburan semasa dapat dikekalkan,” katanya.

Selain ekonomi digital, industri semikonduktor juga dijangka terus berkembang pesat apabila dunia semakin bergantung kepada AI, automasi industri dan kenderaan elektrik.

Sebagai pemain penting dalam ekosistem semikonduktor global, Malaysia berpeluang memperkukuh kedudukannya dalam rantaian nilai yang lebih tinggi.

Pada masa sama, sektor tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau turut berpotensi menerima limpahan manfaat yang besar.

Beliau berkata, komitmen syarikat global terhadap sasaran karbon sifar bersih menjadikan pelaburan dalam tenaga bersih, kecekapan tenaga dan teknologi mesra alam semakin mendapat perhatian.

“Ini membuka ruang kepada Malaysia untuk menarik lebih banyak pelaburan yang selari dengan agenda pembangunan mampan negara,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Rahim menegaskan manfaat sebenar hanya akan dirasai sekiranya pelaburan yang masuk berjaya menghasilkan pekerjaan bernilai tinggi serta mempercepatkan pembangunan bakat tempatan.

“Jika pelaburan hanya tertumpu kepada aktiviti berintensifkan modal tanpa pemindahan teknologi dan pembangunan bakat tempatan, manfaat kepada rakyat mungkin terhad.

“Oleh itu, fokus perlu diberikan kepada peningkatan kemahiran, pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) dan pembangunan modal insan supaya rakyat tempatan dapat mengisi pekerjaan berpendapatan tinggi yang diwujudkan,” katanya.

Ujarnya, Malaysia perlu bergerak lebih pantas dalam melaksanakan reformasi berkaitan birokrasi, meningkatkan produktiviti pekerja serta memastikan bekalan tenaga dan air mencukupi untuk menyokong pelaburan berteknologi tinggi.

“Persaingan daripada Vietnam dan Indonesia semakin sengit. Dalam perlumbaan merebut modal global, kelajuan pelaksanaan dasar sering menjadi faktor pembeza utama,” katanya.

Justeru, ketika Asia Tenggara semakin kukuh sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baharu dunia, cabaran sebenar Malaysia bukan lagi sekadar menarik pelaburan asing.

Sebaliknya, negara perlu memastikan setiap ringgit yang masuk mampu mencipta nilai tambah lebih besar kepada ekonomi, meningkatkan produktiviti serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat.

“Jika dimanfaatkan secara strategik, negara bukan sahaja mampu mengukuhkan kedudukan sebagai hab digital dan teknologi serantau, malah berpotensi menjadi antara pemenang terbesar dalam peralihan pusat pertumbuhan ekonomi dunia ke Asia Tenggara,” katanya.