Katia Itzel García pecah dominasi lelaki di pentas FIFA

Iklan
Garcia memulakan kerjaya sebagai pengadil pada 2015.

PIALA Dunia FIFA 2026 menyaksikan detik bersejarah yang melangkaui aksi di padang apabila Katia Itzel Garcia menjadi wanita pertama dari Mexico yang menjadi pengadil utama di kejohanan paling berprestij itu.

Garcia, 33, telah dilantik untuk mengendalikan perlawanan Kumpulan F antara Belanda dan Tunisia, sekali gus menjadi satu langkah besar ke hadapan dalam memperkukuh penyertaan wanita dalam bidang pengadilan bola sepak antarabangsa.

Iklan
Iklan

Garcia merupakan antara pengadil bola sepak paling berjaya dari Amerika Utara yang mendapat pengiktirafan berdasarkan prestasi konsisten dalam liga domestik dan pertandingan di pentas global.

Ketika tampil di padang, Garcia turut mengenakan pakaian rasmi pengadil yang direka khas dengan inspirasi daripada warna bendera Mexico sebagai simbol kebanggaan mewakili negaranya di pentas bola sepak terbesar dunia.

Iklan

Menurut hantaran ESPN FC di platrofm X, beliau dilihat memakai kit khas tersebut ketika mengendalikan perlawanan.

Pencapaian Garcia (kiri) terbaharunya diraikan sebagai satu kejayaan besar bagi pengadil wanita di seluruh Amerika Latin. Foto: Agensi

Iklan

Pemilihan Garcia merupakan satu pencapaian penting bagi bola sepak Mexico dan satu lagi mercu tanda dalam usaha memperjuangkan kesaksamaan gender dalam bidang pengadilan bola sepak.

Sejak sekian lama, tugas mengadili perlawanan di peringkat tertinggi bola sepak antarabangsa lebih banyak didominasi oleh pengadil lelaki.

Namun, FIFA kini semakin membuka ruang kepada pengadil wanita untuk mengendalikan perlawanan di peringkat tertinggi berdasarkan prestasi, kelayakan dan keupayaan mereka.

Pelantikan Garcia mencerminkan kemajuan ini, sekali gus membuktikan bahawa pengadil wanita semakin diiktiraf atas kecekapan, profesionalisme dan kecemerlangan mereka setanding pengadil lelaki.

Reputasi cemerlang

Katia Itzel Garcia dilahirkan pada 1 September 1992 di Mexico City dan dibesarkan di ibu kota itu yang terkenal sebagai antara pusat perkembangan bola sepak paling berpengaruh di Amerika Latin.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Politik daripada Universiti Autonomi Kebangsaan Mexico (UNAM).

Garcia (dua dari kiri) ketika beraksi semasa perlawanan Belanda menentang Tunisia. Foto: Agensi

Walaupun masih muda mengikut standard kerjaya pengadil, Garcia telah membina reputasi dengan pengalaman bertahun-tahun di pentas tertinggi bola sepak.

Latar belakang beliau berkait rapat dengan sistem pembangunan pengadil yang tersusun di Mexico membolehkannya meningkat daripada pertandingan amatur ke Liga MX Femenil sebelum menerima pelantikan sebagai pengadil antarabangsa FIFA.

Garcia memulakan kerjaya sebagai pengadil pada 2015 dan memulakan kerjaya sebagai pengadil profesional pada 2017 sebelum menerima lencana pengadil antarabangsa FIFA dua tahun kemudian.

Pada Mac 2024, Garcia mencipta rekod apabila menjadi pengadil wanita pertama yang mengadili perlawanan Liga MX selepas lebih dua dekad apabila mengendalikan aksi antara Pachuca dan Queretaro.

Di pentas antarabangsa, Garcia turut membentuk imej yang cemerlang apabila dipilih mengadili perlawanan pada Piala Dunia Wanita FIFA 2023 dan terlibat sebagai pegawai perlawanan di Sukan Olimpik 2024.

Bagaimanapun, pelantikan Garcia sebagai pengadil utama pada Piala Dunia FIFA 2026 bukanlah tugas pertamanya di kejohanan itu.

Beliau menggalas tanggungjawab sebagai pegawai keempat bagi aksi Belanda menentang Jepun pada 14 Jun lalu sebelum mencipta sejarah 11 hari kemudian sebagai pengadil utama.

Perjalanannya untuk mencapai detik bersejarah ini ibarat memecahkan satu demi satu tembok halangan dalam dunia pengadilan bola sepak malah pencapaian luar biasanya diraikan sebagai satu kejayaan besar bagi pengadil wanita di seluruh Amerika Latin. - Agensi