TAIPING - Wanita yang dilaporkan hilang sejak 16 Jun lalu, Norafiza Zainuddin tampil memberi keterangan kepada polis, sekali gus mengesahkan dirinya berada dalam keadaan selamat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintenden Mohd Ariffridzuan Ezahar berkata, wanita berusia 41 tahun itu hadir ke Balai Polis Kajang, Selangor kira-kira jam 3 petang pada Ahad bagi membuat laporan berhubung kehilangan dirinya.
ARTIKEL BERKAITAN: Wanita hilang selepas keluar temu duga kerja
Menurutnya, dalam keterangan diberikan, wanita terbabit menafikan dakwaan bahawa dirinya diculik.
"Norafiza menjelaskan bahawa dia keluar dari rumah dengan kerelaan sendiri tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.
"Melalui laporan dibuat, wanita itu turut memaklumkan tidak mahu diganggu oleh ahli keluarga mahupun mana-mana pihak," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Beliau berkata, keterangan wanita terbabit selesai dirakam dan pihak polis mengesahkan laporan yang dibuat adalah benar.
“Pihak polis mendapati beliau berada dalam keadaan baik, selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian tersebut.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang wanita gagal dikesan selepas keluar rumah di Taiping untuk menghadiri temu duga kerja di sebuah hotel di Kuala Kangsar.
Keluarga tidak menemui sebarang petunjuk sehinggalah kenderaan mangsa ditemui pada 21 Jun lepas di Padang Rengas.
Pemeriksaan mendapati kenderaan itu masih berada dalam keadaan baik dengan kunci serta barangan peribadi di dalamnya, namun mangsa yang telah berpisah dengan suaminya awal tahun ini tiada di lokasi.