RIYADH - Kementerian Tenaga Arab Saudi mengumumkan bahawa sebuah helikopter yang dikendalikan oleh Saudi Aramco terhempas di Ras Tanura pada Ahad, kira-kira 6 pagi waktu tempatan, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
Nahas itu mengorbankan kesemua 14 individu yang berada di dalam helikopter berkenaan dan kesemua mangsa merupakan warganegara Arab Saudi.
Pihak berkuasa berkaitan melancarkan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca nahas.
Kementerian Tenaga merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa, sambil mendoakan agar ALLAH SWT mencucuri rahmat dan keampunan ke atas mereka serta menerima mereka sebagai syahid.
Ras Tanura yang terletak di pantai timur Arab Saudi di sepanjang Teluk merupakan antara hab utama penapisan dan eksport minyak kerajaan itu. - Bernama