BN harap sokongan Pas diterjemahkan di semua 56 kerusi DUN

Iklan
Ahmad Zahid - Foto: FB Ahmad Zahid Hamidi

BATU PAHAT – Barisan Nasional (BN) berharap saranan kepimpinan Pas supaya penyokong dan pengundinya mengundi calon gabungan itu di kerusi yang tidak ditandingi oleh parti berkenaan dapat diterjemahkan di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya menghargai sokongan yang disuarakan itu dan berharap ia diterjemahkan melalui sokongan kepada calon BN di semua kerusi yang ditandingi gabungan berkenaan.

Iklan
Iklan

“Ya, bagus kalau sokongan itu diberikan kepada calon kita yang bertanding dalam PRN ini dan kita hargai sokongan tersebut, tetapi jangan hanya sekadar menanam tebu di bibir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas saranan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man supaya penyokong dan pengundi parti itu mengundi calon BN bagi kerusi yang tidak ditandingi Pas.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Jentera BN DUN Parit Yaani dan DUN Parit Raja di Dataran Tanjung Simpang, di sini.

Sebelum ini, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata bahawa arahan itu dikeluarkan bagi memastikan sokongan diberikan kepada BN di kawasan yang tidak mempunyai calon daripada gabungan berkenaan.

Iklan

Pada PRN Johor kali ini, Perikatan Nasional (PN) bertanding di 33 kerusi, membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (16), PAS (11), MIPP (5) dan Pejuang (1).