KLUANG - Malaysia mengenal pasti empat negara yang berpotensi membekalkan sistem peluru berpandu antikapal bagi menggantikan Naval Strike Missile (NSM) selepas kerajaan Norway membatalkan lesen eksport sistem persenjataan itu kepada negara ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementeriannya sedang menilai tawaran daripada empat negara berkenaan berdasarkan beberapa kriteria utama bagi memastikan sistem yang dipilih memenuhi keperluan operasi Tentera Laut Diraja Malaysia, khususnya untuk Littoral Combat Ship (LCS).
Beliau memberitahu negara yang sedang dipertimbangkan terdiri daripada beberapa negara di Eropah selain Turkiye dan Korea Selatan, namun identiti negara terbabit tidak didedahkan kerana proses penilaian masih berjalan.
"Kita tahu CMS dalam kapal LCS adalah buatan Perancis. Jadi sekarang banyak negara mengemukakan cadangan untuk menjual peluru berpandu pengganti kepada kita," katanya selepas menghadiri Karnival Hari Keluarga Kita bersama warga Angkatan Tentera Malaysia Zon Selatan di sini, pada Ahad.
Menurut beliau, selain keserasian dengan sistem tempur kapal, kementerian turut menilai tempoh penghantaran kerana ia menjadi faktor penting dalam mempercepatkan kesiapsiagaan aset TLDM.
Katanya, pengalaman terdahulu menunjukkan tempahan NSM mengambil masa sehingga lapan tahun untuk dibekalkan, justeru kerajaan mahu memilih pembekal yang mampu menghantar sistem itu dalam tempoh lebih singkat.
"Kalau dia boleh membekalkan, tetapi mengambil masa lapan tahun, itu bukan satu kekuatan. Kita mahu melihat siapa yang boleh menghantar dalam tempoh satu, dua atau tiga tahun," katanya.
Beliau berkata, aspek kos turut diberi perhatian bagi memastikan harga yang ditawarkan berpatutan, selain teknologi peluru berpandu yang setanding atau lebih baik daripada NSM.
Menurutnya, antara ciri yang dinilai ialah keupayaan peluru berpandu mengelak dikesan radar, menggunakan laluan penerbangan yang sukar dipintas serta mempunyai keupayaan mengenal pasti sasaran secara tepat berdasarkan siluet kapal.
"Teknologi seperti itu yang kita cari. Sebab itu kita perlu membuat penilaian yang teliti," katanya.
Kerajaan Norway sebelum ini dilapor membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal NSM kepada Malaysia serta sistem pelancar berkaitan atas alasan untuk melindungi keselamatan negara itu.
Menurut laman sesawang Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), perolehan NSM dimeterai antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan KDA pada April 2018, dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) baharu.
Susulan itu, Malaysia telah menghantar surat tuntutan saman melebihi RM1 bilion kepada syarikat berkaitan dan kini sedang menunggu maklum balas daripada kerajaan Norway.