Nasib Syed Saddiq kekal bebas atau ke tirai besi diketahui Selasa

Iklan
Syed Saddiq

PUTRAJAYA – Nasib Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi empat kes bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) bakal ditentukan Mahkamah Persekutuan di sini Selasa depan.

Keputusan yang dinanti-nantikan itu akan menentukan sama ada bekas Menteri Belia dan Sukan berusia 34 tahun tersebut kekal bebas atau kembali disabit dengan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.

Iklan
Iklan

Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah akan menyampaikan keputusan berkenaan selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak sebelum ini.

Prosiding itu merupakan medan rayuan terakhir bagi pendakwaan selaku perayu, sementara Syed Saddiq sebagai responden.

Iklan

Jika panel hakim membenarkan rayuan pendakwaan, bekas Ketua Armada Bersatu itu akan disabitkan semula atas empat kes terbabit dan dibawa ke penjara untuk menjalani hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November 2023 lalu.

Sekiranya panel mengambil langkah berbeza dengan menolak rayuan itu, Syed Saddiq bakal menikmati pembebasan yang diputuskan Mahkamah Rayuan tahun lalu.

Iklan

Sepanjang prosiding rayuan, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan.

Sementara Syed Saddiq diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 Kuala Lumpur, pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, ahli politik berkenaan didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.

Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas mendapati ahli politik itu bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Armada.

Menerusi penghakiman setebal 22 muka surat, mahkamah menolak pembelaan Syed Saddiq sambil menyifatkan keterangannya `tidak masuk akal’.

Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dilupuskan di Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, pada 25 Jun 2025, anak jati Johor Bahru itu bernasib baik apabila Mahkamah Rayuan melepaskan dan membebaskannya daripada sabitan serta hukuman itu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara menyatakan tindakan mengarahkan seseorang untuk mengeluarkan wang, tidak boleh dikatakan melupuskan dana.

Di rayuan terakhir pada 12 Disember 2025, dalam situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini, panel hakim Mahkamah Persekutuan membuat kejutan apabila memberi masa kepada pihak pendakwaan untuk menilai semula rayuannya berhubung keputusan yang membebaskan Syed Saddiq.

Abu Bakar memberi tempoh seminggu kepada pihak pendakwaan untuk meneliti semula rayuan dan berharap pendakwaan berbincang serta meneruskan rayuan jika masih mampu membuktikan kes.

Pendakwaan juga perlu memaklumkan kepada mahkamah sekiranya merasakan ia tidak begitu kukuh selepas membuat penelitian.

Bagaimanapun, pendakwaan mengambil pendirian meneruskan rayuan terbabit yang dinyatakan melalui surat enam hari selepas itu.

Surat itu menyatakan, selepas pendakwaan mendapatkan pandangan dan arahan lanjut daripada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengarahkan rayuan diteruskan dan sebarang keputusan mahkamah akan diterima.