SHAH ALAM - Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mempunyai kefahaman yang cetek mengenai ‘parti anak-beranak’.
Beliau berkata, Akmal Saleh didakwa paling kuat menggunakan naratif parti anak-beranak susulan tindakannya keluar parti.
"Begitulah ceteknya pemikiran Ketua Pemuda UMNO. Walhal parti anak beranak itu mempunyai makna yang lebih luas.
"Dalam soal calon, memilih calon daripada kalangan kroni, kelompok, penyokong dan penjilat sendiri juga dianggap politik anak beranak.
Justeru beliau mempersoalkan sampai bila amalan berkenaan akan dibenarkan.
Dalam pada itu, mengenai calon yang membabitkan anaknya pula, beliau berkata, ia bukan soal anak sendiri.
"Kebetulan dia bekas pemimpin pelajar. Dia dilatih dan dibimbing termasuk dalam soal pemikiran dan komitmen, malangnya Asyraf (Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki) hanya siar dua para mesej saya kepadanya. Hujah potensi dan komitmen tidak disiarkan.
"Masalahnya sejak menjadi Setiausaha Agung UMNO, Asyraf menjadikan pentadbiran UMNO terlalu eksklusif dan elit. Hanya anak beranak mereka sahaja yang mudah akses kemudahan di ibu pejabat," katanya.
Terdahulu, Akmal Saleh menegaskan UMNO bukan sebuah parti yang mengamalkan politik keluarga atau memberi keutamaan kepada ahli keluarga tertentu untuk menjadi calon pilihan raya.
Beliau berkata, dakwaan bahawa UMNO Johor tidak lagi memenuhi aspirasi golongan muda adalah tidak berasas memandangkan ramai calon muda diketengahkan pada PRN kali ini.