KOTA BHARU - Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan mereka akan memutuskan hala tuju sokongan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pada Isnin ini.
Beliau berkata, keputusan itu akan dibuat menerusi mesyuarat khas Pas Pusat yang bermula jam 5 petang.
"Hari Isnin ini Pas Pusat akan bermesyuarat dan buat keputusan termasuklah perkara-perkara lain. Sekarang ini belum ada keputusan," katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu malam.
Beliau ditemui ketika menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu yang dirasmikan Ahli Parlimen Jerantut, Khiril Nizam Khirudin.
Menurut beliau, mesyuarat itu turut membincangkan kerjasama politik melibatkan Pas dan parti-parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
Mengulas isu penggunaan logo PN di PRN Johor, Takiyuddin menjelaskan perkara tersebut sudah selesai.
Katanya, hal ini kerana proses penamaan calon untuk PRN Johor sudah berjalan dan selesai sepenuhnya pada Sabtu.
"Jadi tidak timbul soal pertukaran kepada logo lain. Hari ini (semalam) 16 orang Bersatu, 11 orang Pas, lima orang Gerakan, semua guna logo PN.
"Nak tukar macam mana, you (awak) dah masuk dah (jadi calon). Itu logo yang dibenarkan digunakan oleh PN kepada parti-parti komponen," katanya.
Dalam pada itu, beliau berpandangan semua parti yang bertanding mempunyai peluang seimbang memandangkan PRN kali ini melibatkan parti-parti berpengalaman yang pernah melalui beberapa siri pilihan raya sebelum ini termasuk Pilihan Raya Umum ke-15 dan PRN 2022.
"Saya rasa semua parti mempunyai"equal chance", mempunyai peluang yang sama. Kita tengok dulu macam mana 'how it goes"," katanya.