SHAH ALAM – Seorang pelukis kain rentang yang menghasilkan karya sambil meniarap sehingga tular di media sosial rupa-rupanya bermula sekadar hobi untuk berjimat ketika menyediakan dekorasi sambutan Aidilfitri tahun lalu.
Menurut Muhammad Alif Aiman Mohd Azuan, 26, dia mula menghasilkan kain rentang sendiri pada 2025 selepas mendapati kos menempah hiasan 'photobooth' Aidilfitri mahal ketika itu.
Lepasan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Acara Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam itu berkata, ketika itu dia baru sahaja menamatkan latihan industri dan masih tidak mempunyai pekerjaan tetap.
"Saya buat sendiri kain rentang itu dan rakam prosesnya sekadar suka-suka untuk dimuat naik di TikTok.
"Kemudian buat pula kain rentang untuk jamuan Hari Raya adik saya dan video itulah yang mula tular. Dari situ saya perlahan-lahan mula menerima tempahan,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Muhammad Alif Aiman, dia tidak pernah mengikuti pendidikan formal dalam bidang lukisan.
Sebaliknya hanya menggunakan teknik tekap dengan mencetak reka bentuk pada kertas size A4 sebelum mencantumkannya mengikut saiz yang dikehendaki.
"Saya bukanlah orang yang berbakat melukis, sebab itu gunakan teknik tekap.
"Dulu saya akan lakar menggunakan pensel dahulu sebelum menghitamkannya dengan marker pen, tetapi sekarang saya terus melukis menggunakan marker pen," kongsinya.
Mengulas mengenai aksi melukis sambil meniarap yang mencuri perhatian ramai, Muhammad Alif Aiman berkata, keadaan rumah papan yang didiaminya tidak mempunyai dinding rata untuk memancarkan imej sebelum menekap.
Justeru sebagai alternatif, dia membentangkan kain di atas karpet yang pada mulanya kerja-kerja melukis dilakukan dalam keadaan duduk.
"Bila buat lama-lama badan mula sakit. Akhirnya saya dapati posisi paling selesa ialah meniarap kerana proses menyiapkan satu lukisan mengambil masa yang panjang," ujarnya.
Berkongsi lanjut, Muhammad Alif Aiman berkata, pada peringkat awal dia memerlukan kira-kira tiga hingga empat jam untuk menyiapkan satu tempahan bergantung kepada tahap kerumitan reka bentuk.
Namun selepas semakin mahir, dia kini mampu menyiapkan hampir lapan hingga 10 tempahan dalam tempoh empat hingga lima jam.