'Buah harga kayangan' turun darjat angkara import Thailand

Iklan
Durian dari Batu Kurau kini dijual serendah RM4 sekilogram akibat lambakan durian di Perak.

IPOH – Lambakan durian musang king import dari negara Thailand yang dijual pada harga jauh lebih murah dikenal pasti antara faktor utama kejatuhan harga durian tempatan sehingga menjejaskan pekebun di Perak pada musim ini.

Pengerusi Persatuan Pekebun Durian Perak, Nor Hisham Nayan berkata, pengusaha tempatan sukar bersaing apabila durian import dijual pada harga serendah RM9 sekilogram di pasaran.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, keadaan itu memaksa pekebun tempatan menurunkan harga jualan bagi memastikan hasil mereka dapat dipasarkan.

"Kalau durian Musang King dari Thailand dijual semurah itu, mustahil durian tempatan boleh dijual lebih mahal. Kalau tidak, memang langsung tidak laku.

Iklan

Nor Hisham berkata, selain lambakan durian import, pengeluaran hasil daripada pokok musang king yang belum matang dan ditanam sekitar 2018 turut menyumbang kepada lebihan bekalan di pasaran.

Katanya, buah daripada pokok tersebut masih belum mencapai spesifikasi untuk dieksport, sekali gus terpaksa dipasarkan dalam negara dan meningkatkan persaingan dengan durian import.

Iklan

"Apabila berlaku lambakan akibat dua faktor ini, bukan sahaja musang king tempatan terjejas, malah durian kampung juga sukar dijual kerana pengguna beralih kepada durian import yang lebih murah," katanya.

Nor Hisham

Nor Hisham berkata, situasi itu dijangka berterusan sekiranya dasar kemasukan durian import tidak dikaji semula.

Menurut beliau, masalah lambakan hanya dijangka reda dalam tempoh empat hingga lima tahun lagi apabila pokok-pokok muda mencapai tahap matang dan memenuhi syarat eksport.

Beliau turut mendedahkan harga durian kampung kini berada pada paras paling rendah apabila ada pemborong hanya menawarkan 50 sen sebiji.

Katanya, keadaan itu menyebabkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menetapkan harga lantai RM2.70 sekilogram bagi membantu pekebun.

Bagi musang king tempatan pula, beliau berkata, harga belian di kebun di beberapa kawasan termasuk Pengkalan Hulu hanya sekitar RM5 hingga RM6 sekilogram akibat tekanan pasaran.

Mengulas keadaan di Perak, Nor Hisham berkata, kawasan pengeluaran utama seperti Batu Kurau dan Tanjung Malim kini mengalami musim gugur buah secara serentak, dengan Batu Kurau merupakan kawasan yang paling terkesan.

Beliau berkata, persatuan yang mempunyai kira-kira 500 ahli itu menerima rungutan berterusan daripada pekebun yang berdepan kesukaran memasarkan hasil selain dibebani kenaikan kos pengeluaran.