Hujah BN tidak tepat - Tun Faisal

Iklan
Tun Faisal

SHAH ALAM – Hujah Barisan Nasional (BN) bahawa sesebuah parti perlu bertanding lebih banyak kerusi bagi membolehkan ia membentuk kerajaan adalah tidak tepat.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, perkara itu kerana realitinya UMNO pernah gagal membentuk kerajaan walaupun bertanding di lebih banyak kerusi di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri serta Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengalaman PRU15 dan PRN itu membuktikan jumlah kerusi yang ditandingi bukan penentu sesebuah parti dapat membentuk kerajaan.

"Pada PRU15, UMNO bertanding di 120 kerusi Parlimen, namun hanya memenangi 26 kerusi. Kalau tidak kerana Presiden UMNO menipu Yang di-Pertuan Agong (YDPA), sanggup mengkhianati undi pengundi UMNO dan BN untuk mengangkat bekas banduan yang masih berdepan kes serangan seksual sebagai Perdana Menteri, UMDAP tidak mungkin dapat membentuk kerajaan.

Iklan

"Di Perak dan Pahang, kalau tidak kerana pertolongan DAP, UMNO juga tidak dapat membentuk kerajaan," ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros, menjelaskan bahawa Perikatan Nasional (PN) tidak menunjukkan hasrat yang realistik untuk membentuk kerajaan negeri kerana hanya bertanding di 33 kerusi.

Iklan

Untuk membentuk kerajaan Johor, mana-mana parti atau gabungan memerlukan majoriti mudah sekurang-kurangnya 29 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tambah Faisal, Pakatan Harapan (PH) dan BN mampu membentuk kerajaan bukan kerana bertanding atau memenangi banyak kerusi, sebaliknya disebabkan penipuan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta pengkhianatan terhadap undi pengundi kedua-dua parti itu.

"Jadi rakan-rakan UMNO yang berhujah dengan hujah ini, bukan soal bertanding banyak atau sedikit. Yang bertanding sedikit pun masih boleh menjadi Perdana Menteri, Menteri Besar (MB) dan membentuk kerajaan," ulasnya.