JAIS buat laporan polis, dakwa borang pengebumian jenazah dipalsukan

Iklan
Laporan Sinar Harian dan Mohd Shahzihan (kanan)

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat laporan polis atas dakwaan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam yang dikemukakan kepada pengurusan Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang dalam kes tular baru-baru ini adalah palsu.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, kelewatan urusan pengebumian jenazah berkenaan bukan berpunca daripada pihak masjid, sebaliknya berlaku akibat kekeliruan waris yang menyerahkan sepenuhnya urusan kepada Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) yang tidak mempunyai kaitan dengan pihak masjid.

Iklan
Iklan

Malah menurutnya, hasil siasatan mendapati jenazah berkenaan merupakan ahli kariah Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam dan meninggal dunia pada 25 Jun lalu.

"Pada peringkat awal waris telah berurusan dengan BKS bagi menguruskan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana yang berada di bawah seliaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Iklan

"Bapa kepada si mati hanya berjumpa dengan Pembantu Pengurus Masjid Nurul Hidayah pada pukul 10.30 pagi untuk mendapatkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam yang diperlukan untuk urusan pengebumian.

"Bapa si mati juga telah bersetuju agar pihak masjid yang mengambil alih daripada BKS untuk meneruskan urusan pengebumian jenazah," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Iklan

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan berlaku pertikaian dalam urusan pengurusan jenazah sehingga proses pengebumian di tanah perkuburan berkenaan tertangguh lebih sejam.

Menerusi hantaran tular itu, sebuah badan kebajikan mendakwa telah menguruskan jenazah atas permintaan waris, namun timbul isu berkaitan permit pengebumian serta dakwaan caj RM1,400 yang dikenakan oleh pihak pengurusan masjid.

Dalam pada itu Mohd Shahzihan menjelaskan, pihak masjid mengeluarkan borang permohonan berkenaan pada jam 11.15 pagi selepas menerima Daftar Kematian asal.

Menurutnya, pihak masjid juga dimaklumkan datuk si mati berkeras untuk jenazah diuruskan oleh BKS.

"Bagi mengelakkan sebarang kekecohan, pihak masjid mendapatkan bantuan polis sebelum menuju ke lokasi pengurusan jenazah di Surau An-Nur, Taman Cempaka.

"Namun setibanya di lokasi, pihak masjid dimaklumkan bahawa jenazah telah dibawa ke tanah perkuburan Islam oleh pihak BKS, sedangkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam dan Daftar Kematian asal masih berada dalam pegangan pihak masjid," jelasnya.

Beliau berkata, tindakan membawa jenazah ke tanah perkuburan tanpa dokumen sah menyebabkan urusan pengebumian tidak dapat diselesaikan sehingga pihak pengurusan tanah perkuburan menghubungi masjid dan memaklumkan jenazah telah berada di liang lahad.

Pihak masjid kemudianya membawa dokumen asal ke tanah perkuburan bagi membolehkan pengebumian disempurnakan.

Mohd Shahzihan turut menafikan dakwaan bahawa pihak masjid mengenakan bayaran RM1,400 kepada waris bagi menguruskan pengebumian jenazah.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat Islam supaya merujuk terus kepada pihak pengurusan masjid di kariah masing-masing bagi memastikan urusan pengebumian berjalan lancar serta mengelakkan kelewatan.