RENCANA The Economist bertarikh 25 Jun 2026 bertajuk 'Two state elections may break Malaysia’s ruling coalition' mengemukakan premis bahawa pilihan raya negeri di Johor dan Negeri Sembilan berpotensi menggugat Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Johor dijadualkan mengundi pada 11 Julai 2026, manakala Negeri Sembilan pada 1 Ogos 2026.
Premis tersebut wajar diteliti secara lebih berhati-hati. Dua PRN ini memang boleh menjadi ujian politik kepada hubungan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya dari segi rundingan kerusi, kekuatan jentera, sentimen akar umbi dan naratif menjelang PRU16.
Namun, menyimpulkan bahawa keputusan di dua negeri ini boleh meruntuhkan kerajaan pusat adalah satu tafsiran yang terlalu jauh dari sudut perlembagaan.
PRN ialah medan tempatan untuk menentukan kerajaan negeri. Ia bukan undi percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat. Di bawah Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Perdana Menteri bergantung kepada kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, bukan kepada keputusan pilihan raya negeri.
Oleh itu, sekalipun Pakatan Harapan atau rakan-rakan gabungannya mengalami kemerosotan prestasi di Johor atau Negeri Sembilan, keadaan itu tidak dengan sendirinya menjatuhkan Kerajaan Persekutuan.
Kesilapan asas dalam naratif tersebut ialah menyamakan momentum politik negeri dengan mekanisme kejatuhan kerajaan pusat. Artikel 43(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Perdana Menteri perlu meletakkan jawatan Kabinet sekiranya beliau tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, melainkan Parlimen dibubarkan atas permintaannya. Dalam erti kata lain, medan penentu keabsahan kerajaan pusat ialah Parlimen, bukan Dewan Undangan Negeri.
Kedua-dua PRN tersebut juga mempunyai konteks politik yang berbeza. Johor mempunyai sejarah dominasi Barisan Nasional, struktur pengundi yang tersendiri, pertimbangan Bangsa Johor dan dinamika kepimpinan negeri yang kuat.
Negeri Sembilan pula mempunyai pengalaman pentadbiran gabungan PH-BN dan corak pengundi yang tidak semestinya sama dengan Johor. Justeru, keputusan di kedua-dua negeri ini tidak wajar dipukul rata sebagai referendum nasional terhadap Perdana Menteri.
Dakwaan bahawa rakan-rakan gabungan sedang “eyeing the exits” juga perlu dibaca secara lebih cermat. Dalam politik gabungan, perbezaan pendirian, tekanan dalaman parti dan strategi berasingan di peringkat negeri bukan perkara luar biasa. Ia boleh mencerminkan rundingan kuasa dan penyesuaian politik, tetapi tidak semestinya bermaksud keruntuhan gabungan di peringkat Persekutuan.
DAP, misalnya, walaupun berdepan perbincangan dalaman mengenai kedudukannya dalam kerajaan, telah menegaskan bahawa 40 Ahli Parlimennya akan terus menyokong kerajaan pimpinan Anwar sehingga tamat penggal. Begitu juga dengan BN, GRS dan GPS yang dilaporkan telah menegaskan komitmen untuk kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal semasa.
Dari sudut rasional politik, BN tidak mempunyai insentif strategik yang jelas untuk keluar secara tergesa-gesa daripada kerajaan pusat. Kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan memberi ruang kepada kestabilan pentadbiran, penyertaan dalam proses membuat dasar dan peluang pemulihan politik secara beransur-ansur.
Keluar daripada kerajaan dalam keadaan ekonomi menunjukkan daya tahan hanya akan mendedahkan BN kepada risiko politik yang lebih besar.
DAP juga tidak mempunyai kepentingan untuk menjatuhkan kerajaan yang turut disertainya. Tindakan sedemikian boleh menimbulkan persepsi bahawa parti itu mengutamakan tekanan dalaman berbanding kestabilan nasional.
Pilihan paling rasional bagi BN dan DAP ialah terus kekal dalam kerajaan pusat sambil mengurus perbezaan masing-masing di peringkat parti dan negeri.
Dari sudut ekonomi, gambaran bahawa 'the walls are closing in' terhadap Perdana Menteri juga perlu diseimbangkan dengan petunjuk makroekonomi semasa.
Malaysia mencatat pertumbuhan 5.4 peratus pada suku pertama 2026, manakala inflasi Mei 2026 berada pada 2.0 peratus, masih pada tahap terkawal. Pasaran buruh pula kekal relatif stabil dengan kadar pengangguran sekitar 2.9 peratus hingga 3.0 peratus dalam tempoh mutakhir.
Prestasi perdagangan juga memberi isyarat daya tahan ekonomi. Pada tahun 2025, jumlah perdagangan Malaysia mencatat rekod RM3.061 trilion, melepasi paras RM3 trilion buat kali pertama. Pada suku pertama 2026, jumlah perdagangan terus berkembang 10.4% kepada RM789.85 bilion dengan lebihan dagangan RM63.22 bilion.
Selain itu, kedudukan Malaysia dalam IMD World Competitiveness Ranking 2026 turut menunjukkan peningkatan. Malaysia melonjak lapan anak tangga ke kedudukan ke-15 daripada 70 ekonomi, dengan peningkatan merentasi beberapa komponen daya saing. IMD menilai daya saing berdasarkan gabungan data keras dan tinjauan eksekutif, bukan GDP semata-mata.
Kaji selidik Merdeka Center yang dikeluarkan pada 25 Jun 2026 juga tidak menunjukkan bahawa Anwar berada di hujung hayat politiknya. Beliau direkodkan sebagai pemimpin politik dengan kadar penerimaan tertinggi, iaitu 52%, mengatasi tokoh-tokoh politik lain.
Angka ini tidak bermaksud kerajaan bebas daripada kritikan, tetapi ia menunjukkan Perdana Menteri masih mempunyai asas penerimaan awam yang signifikan.
Justeru, dua PRN ini lebih tepat dilihat sebagai ujian terhadap pengurusan politik gabungan, bukannya mekanisme kejatuhan kerajaan pusat. Keputusan yang kurang memihak kepada PH atau rakan gabungannya mungkin memberi tekanan naratif, menjejaskan moral jentera atau mempengaruhi rundingan menjelang PRU16.
Namun, selagi sokongan majoriti di Dewan Rakyat kekal dan rakan gabungan utama tidak menarik sokongan secara rasmi, Kerajaan Madani tidak akan tumbang hanya kerana keputusan dua PRN.
Dalam politik Malaysia, momentum pilihan raya negeri memang penting. Tetapi momentum bukan perlembagaan. Sentimen bukan undi percaya. Dan kekalahan di negeri, jika berlaku sekalipun, bukanlah kejatuhan automatik kerajaan Persekutuan.
*Penulis ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Seremban