PONTIAN - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa Kerajaan Johor akan terus bergerak seiring dengan Kerajaan Persekutuan sekiranya gabungan itu sekali lagi diberi mandat mentadbir negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kestabilan politik dan kesinambungan kepimpinan merupakan asas penting bagi memastikan pembangunan negeri dapat diteruskan dengan lebih berkesan demi kepentingan rakyat.
"Saya yakin, jika mandat diberikan kepada calon-calon kita dan negeri Johor terus ditadbir dengan sokongan kepada calon-calon yang kita pilih, tidak timbul soal bahawa Kerajaan Negeri Johor kononnya tidak akan bersama-sama dengan Kerajaan Pusat.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Kakitangan Kemas Negeri Johor di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Dr Ismail di sini pada Sabtu.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu turut menegaskan rakyat tidak seharusnya terpengaruh dengan dakwaan bahawa hanya parti tertentu mampu memastikan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan.
"Saya ingin sebutkan bahawa Kerajaan Johor yang akan dibentuk, apatah lagi jika diberikan mandat yang lebih besar, saya dan kita akan memastikan kerajaan ini terus selari dengan Kerajaan Pusat di Putrajaya.
"Jangan mainkan isu bahawa rakyat hanya perlu memilih mereka yang datang daripada gabungan atau parti yang sama. Kita juga berada dalam gabungan yang sama," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menggesa semua pihak berkempen secara matang dan berhemah sepanjang tempoh berkempen selama 14 hari.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dalam memastikan kelancaran serta keselamatan proses pilihan raya.
Pada masa sama, Ahmad Zahid turut memuji peranan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan menyatakan hasrat supaya skim gaji warga Kemas dapat ditambah baik melalui cadangan yang akan dikemukakan kepada kerajaan.