PRN Johor: Kempen secara matang, elak hubungan Kerajaan Perpaduan terjejas - MIC

Iklan
Vigneswaran (duduk di depan, enam dari kiri) ketika hadir ke Konvokesyen Aimst University di Sungai Petani pada Sabtu.

SUNGAI PETANI - MIC mengharapkan semua pihak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berkempen secara matang tanpa mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan provokasi antara satu sama lain.

Presidennya, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, ia penting bagi memastikan hubungan politik yang terjalin di peringkat Persekutuan tidak terjejas biarpun berlaku pertembungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Iklan
Iklan

Menurutnya, memandangkan Kerajaan Persekutuan ketika ini dibentuk menerusi kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, setiap pihak perlu lebih berhati-hati dalam menyampaikan mesej politik kepada rakyat.

“Oleh kerana kerajaan Persekutuan terdiri daripada Kerajaan Perpaduan, maka saya berharaplah kempen tu jangan terlalu keluarkan kenyataan-kenyataan yang akan merunsingkan mereka yang bekerja bersama dalam kerajaan di peringkat Persekutuan... kita tujukan kepada semua pihak," katanya.

Iklan

Beliau ditemui media ketika hadir ke Majlis Konvokesyen Ke-17 Aimst University di sini pada Sabtu.

Dalam PRN Johor kali ini, parti komponen Barisan Nasional (BN) itu bertanding di empat kerusi iaitu DUN Kahang, Kemelah, Bukit Batu dan Perling.

Iklan

Menurut Vigneswaran, MIC akan mengekalkan kemenangan di dua kerusi DUN iaitu Kahang dan Kemelah selain berpeluang merebut dua lagi kerusi, Bukit Batu dan Perling berdasarkan kekuatan sokongan serta kesiapsiagaan jentera parti.

Katanya, MIC juga melihat peluang positif di kerusi Bukit Batu susulan ketiadaan saingan daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia.

Menurutnya, bagi kerusi DUN Perling yang mempunyai jumlah pengundi besar juga dilihat berpotensi dimenangi MIC menerusi strategi kempen tersusun serta kerjasama semua parti komponen.

"Keyakinan kita ada juga program dan juga strategi untuk memenangi kerusi tu pun tetapi bukan semudah benda ni lah namun dengan kehadiran bersama (parti komponen BN) mudah-mudahan kita dapatlah undi kita ni.

"MIC punya calon, dia kena kerja lebih daripada keras...tapi kita yakin bahawa parti-parti dalam BN pun akan bekerja keras kerana ini dah jadi macam satu perlawanan yang hebat," katanya.

Beliau yang juga Canselor Aimst University berkata, pada konvokesyen kali ini, seramai 637 graduan dianugerahkan ijazah dalam pelbagai bidang termasuk Perubatan, Pergigian dan Farmasi.

Universiti itu turut meraikan dua penerima Ijazah Doktor Falsafah dan 10 Ijazah Sarjana dalam majlis sama.