PM umum peruntukan RM1.5 juta perluas akses bantuan guaman syarie

Iklan
Anwar menyampaikan ucapan pada Perasmian Konvensyen Kebangsaan Profesion Peguam Syarie 2026 pada Sabtu. Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu mengumumkan peruntukan RM1.5 juta kepada Persatuan Peguam Syarie Malaysia bagi memperluas akses bantuan guaman syarie kepada golongan kurang berkemampuan melalui Program Bantuan Guaman Syarie (BAGUS).

Beliau berkata, akses kepada keadilan perlu diberi perhatian kerana masih ramai, khususnya golongan miskin dan ibu tunggal yang berdepan kesukaran mendapatkan representasi guaman di Mahkamah Syariah.

Iklan
Iklan

"Kita ada perundangan yang baik, mahkamah yang baik, peguam yang baik dan hakim yang baik, tetapi masalah akses itu belum tentu.

"Selalunya dalam sistem perundangan, orang yang berkemampuan mendapat peguam terbaik, tetapi orang yang paling miskin kadang-kadang tidak ada akses,” kata beliau ketika merasmikan Konvensyen Kebangsaan Profesion Peguam Syarie 2026, di sini pada Sabtu.

Iklan

Mengulas mengenai evolusi institusi kehakiman syariah di negara ini, Perdana Menteri berkata, sebarang usaha memperkasa institusi Mahkamah Syariah termasuk cadangan penambahbaikan terhadap Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan tidak pernah bertujuan menjejaskan hak penganut agama lain.

Beliau berkata, matlamat utama pindaan itu sejak diperkenalkan pada akhir 1980-an adalah untuk mengukuhkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam hal ehwal berkaitan umat Islam, tanpa mengganggu urusan agama bukan Islam.

Iklan

"Kita tidak sama sekali mahu melanggar hak bukan Islam. Apa yang kita hendak tegakkan ialah keadilan dan tidak menafikan hak bukan Islam dalam urusan agama mereka.

Anwar berkata, beliau sendiri pernah memberi jaminan kepada pemimpin bukan Islam ketika pindaan Perkara 121(1A) dibawa supaya ia tidak disalah tafsir sebagai usaha menjejaskan hak masyarakat bukan Islam.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa Kerajaan Perpaduan mengabaikan agenda memperkasa institusi Islam kerana setiap cadangan berkaitan Mahkamah Syariah yang dibawa ke Jemaah Menteri diberikan pertimbangan sewajarnya tanpa dibantah oleh menteri bukan Islam.

"Sepanjang lebih tiga tahun saya menjadi Perdana Menteri, belum ada satupun cadangan berkaitan penambahan peruntukan atau kedudukan Mahkamah Syariah yang dibantah oleh mana-mana menteri, termasuk menteri bukan Melayu," kata beliau.

Bagi memperkasakan institusi kehakiman syariah, Perdana Menteri mencadangkan satu sesi perbincangan khas diadakan melibatkan Peguam Negara, Ketua Hakim Negara, ketua-ketua hakim Mahkamah Syariah serta wakil Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Beliau berkata, sesi itu penting bagi membolehkan kerajaan meneliti cadangan yang dikemukakan oleh pengamal undang-undang syariah dalam meningkatkan keupayaan serta martabat Mahkamah Syariah.

"Pandangan yang dirasakan perlu dan harus diberi perhatian, saya akan beri keutamaan," kata beliau. - Bernama