KUALA PILAH - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menzahirkan Muhammad Faris Johari sebagai Dato' Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke-11 pada Sabtu.
Majlis Istiadat Penzahiran Kejadian akauntan berusia 29 tahun itu sebagai Undang Luak Sungei Ujong dibuat dalam majlis istiadat menghadap baginda di Istana Besar Seri Menanti.
Turut berkenan menyaksikan Istiadat Menghadap itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dan Putera Yang Empat, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar Tunku Zain Al- 'Abidin Tuanku Muhriz.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan isteri, Datin Seri Wan Hasbi Wan Yusof serta beberapa barisan Exco kerajaan negeri.
Istiadat dimulakan dengan Orang Empat Istana tampil menghadap Tuanku Muhriz bagi perkenan memulakan istiadat.
Muhammad Faris berusia 29 tahun yang juga merupakan seorang akautan kemudiannya melafazkan sembah taat setia kepada YDPB Negeri dan berikrar akan sentiasa menjunjung kedaulatan baginda dan mempertahankan adat, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Selain itu, beliau turut berikrar akan melaksanakan segala amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya dengan penuh jujur, amanah dan adil.
"Patik juga sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat, menjaga maruah institusi adat serta berusaha memelihara keamanan, perpaduan dan keharmonian Luak Sungei Ujong," katanya.
Kemudiannya diikuti titah Tuanku Muhriz dan diakhiri bacaan doa oleh Mufti Kerajaan Negeri Mufti Negeri Sembilan, Prof Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin dan disusuli dengan lagu kebesaran Negeri Sembilan.
Terdahulu, pada istiadat itu, Muhammad Faris dan isteri Sharifah Amirah Ir Syed Ismail Ash-Shahab diarak dengan diiringi kira-kira 100 anggota rombongan ke Istana Besar Seri Menanti sambil membawa barang adat istiadat.
Muhammad Faris dimasyhurkan sebagai Undang Luak Sungei Ujong ke-11 menggantikan Datuk Mubarak Dohak yang dilucutkan jawatan pada 17 April lalu.
Pelantikan beliau mengikut istiadat kerapatan di Telaga Undang dipilih secara bulat muafakat (consensus) oleh Waris Nan Tua Klana Hulu bersama Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu dan Waris-waris Klana Hulu.
Muhammad Faris dilahirkan pada 30 Oktober 1997, anak kedua pasangan Johari Meor Ngah dan Ibu Soko Klana Hulu Shazlina Dato' Sinda Maharaja Abd Karim.
Ibunya adalah lulusan Universiti McGill, Montreal, Kanada manakala bapanya pula graduan Universiti Coventry, England.
Muhammad Faris ialah Waris Klana Hulu berketurunan langsung Dato' Klana Petra Bador ibni Dato' Penghulu Menteri Chantek, Undang Luak Sungai Ujong pertama mengikut nasab ibu.
Beliau juga adalah piut Dato' Klana Petra Ma'amor bin Dato' Menteri Kassim Undang Luak Sungai Ujong ke-8 dan YTM Dato' Mendika Menteri Akhirulzaman Abdullah Panglima Muda Luk Undang Luak Jelebu ke-12 (lebih dikenali Lion of Jelebu atau Singa Jelebu).
Muhammad Faris juga ialah bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri, Perlis sebelum memperoleh sarjana muda perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Beliau turut memperoleh kelayakan profesional menerusi program Association of Certified Chartered Accountants (ACCA) pada 2022 dan kini berkhidmat sebagai akauntan di firma global Marsh.