Pas arah jentera tidak bantu kempen di kawasan DUN ditandingi Bersatu

Iklan
Ahmad Fadhli Shaari

SHAH ALAM- Pas mengarahkan semua jentera parti itu tidak membantu operasi kempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, bagaimanapun jentera Pas akan tetap bertugas di kawasan yang ditandingi parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang lain.

Iklan
Iklan

"Jentera Pas Kawasan dan DUN ditandingi Bersatu PRN Johor diarah bertugas di DUN ditandingi Pas dan parti komponen PN yang lain," ujarnya menerusi laman Facebook pada Sabtu.

Tarikh pengundian awal bagi PRN Johor pada 7 Julai dan hari pengundian pada 11 Julai selepas DUN dibubarkan pada 1 Jun lepas.

Iklan

Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengulas mengenai hubungan dengan Bersatu berkata, kemelut itu sudah selesai dan pihaknya tetap dengan keputusan membatalkan kerjasama sebagaimana diputuskan sebelum ini.

Menyentuh mengenai sasaran Pas dalam PRN Johor, Abdul Hadi menjelaskan parti itu meletakkan sasaran menjadi blok pembangkang serta sebagai penasihat kepada kerajaan.

Iklan

Jelas beliau, keputusan meletakkan calon di 11 kerusi DUN juga dibuat berdasarkan penilaian teliti terhadap kawasan yang mempunyai keyakinan tinggi untuk menang, termasuk di kawasan Maharani.

Seblum ini, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah kerusi ditandingi Pas pada PRN Johor kali ini dikurangkan kepada 11 berbanding 15 kerusi pada PRN sebelumnya.

Katanya, pengurangan jumlah kerusi yang ditandingi Pas bukanlah satu isu kerana keputusan tersebut dibuat berdasarkan pertimbangan semasa dan strategi terbaik bagi menghadapi pilihan raya.