JOHOR BAHRU – Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 yang berlangsung di 56 pusat penamaan calon di seluruh negeri pada Sabtu berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, sehingga jam 10 pagi, polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan kejadian atau provokasi yang boleh menjejaskan kelancaran proses penamaan calon.
"Sehingga jam 10 pagi, pihak kami tidak menerima sebarang laporan atau kejadian yang boleh mengganggu proses penamaan calon.
"Dengan erti kata lain, proses penamaan calon di 56 pusat penamaan calon di seluruh negeri Johor berjalan lancar dan tidak berlaku sebarang insiden yang boleh mengganggu perjalanan proses penamaan calon," katanya pada sidang media selepas meninjau Pusat Penamaan Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Dato' Onn di sini pada Sabtu.
Menurut Ab Rahaman, bagi memastikan kelancaran proses itu, seramai 4,832 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor diatur gerak bagi melaksanakan tugas kawalan keselamatan di semua pusat penamaan calon.
Beliau berkata, polis turut memberi perhatian terhadap aspek pengurusan trafik memandangkan beberapa laluan utama berhampiran pusat penamaan calon ditutup bagi melancarkan pergerakan calon dan penyokong.
"Seramai 437 pegawai dan anggota trafik turut diatur gerak untuk memantau aliran trafik serta mengiringi pemimpin dan penyokong parti politik yang hadir.
"Memang terdapat sedikit kesesakan di beberapa lokasi akibat penutupan jalan, namun ia tidak menjejaskan aliran trafik secara keseluruhan. Alhamdulillah, aliran trafik di semua pusat penamaan calon berjalan lancar," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan sehingga Sabtu, polis telah meluluskan 26 permit kempen di seluruh negeri.
Katanya, jumlah itu dijangka terus meningkat sepanjang tempoh berkempen berdasarkan permohonan yang diterima serta penilaian oleh Ketua Polis Daerah di kawasan masing-masing.
"Setakat hari ini, kita telah meluluskan sebanyak 26 permit kempen untuk seluruh negeri Johor. Kita percaya lebih banyak permit ceramah umum akan diluluskan berdasarkan penilaian Ketua Polis Daerah," katanya.
Mengulas tempoh berkempen, beliau mengingatkan semua parti politik dan penyokong supaya mematuhi undang-undang pilihan raya serta berkempen secara berhemah.
"Kita menyeru semua parti politik supaya berkempen secara berhemah dan tidak menimbulkan sebarang situasi yang boleh mengganggu keselamatan serta ketenteraman awam di negeri Johor.
"Pihak polis bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku insiden yang boleh menjejaskan perjalanan kempen. Mana-mana individu atau parti politik yang didapati melanggar peraturan serta undang-undang pilihan raya akan diambil tindakan mengikut peruntukan yang berkuat kuasa," katanya.