KUALA LUMPUR – Perbadanan Aset Keretapi (RAC) menganjurkan The Heritage Colours Festival selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad di Stesen Keretapi Kuala Lumpur bagi menghidupkan semula bangunan warisan ikonik itu sebagai ruang komuniti yang lebih dinamik dan mesra pengunjung.
Festival yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 6 petang itu mengetengahkan pelbagai aktiviti seni, budaya dan warisan tempatan sebagai usaha memupuk penghargaan masyarakat terhadap khazanah sejarah negara.
Hari pembukaan festival turut diserikan dengan penganjuran Jelajah Warisan KL, iaitu program libat urus yang menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan bagi melihat sendiri perkembangan usaha pemuliharaan dan pengaktifan kawasan warisan di sekitar Stesen Keretapi Kuala Lumpur.
Program berkenaan disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud dengan kehadiran wakil pengurusan kanan RAC, Sekretariat Warisan KL, Jabatan Warisan Negara (JWN), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Think City serta komuniti setempat.
Menurut RAC, penganjuran festival itu bertujuan mengangkat nilai sejarah, seni bina dan budaya Stesen Keretapi Kuala Lumpur selain menjadikannya sebagai ruang awam yang inklusif serta memberi manfaat kepada masyarakat.
Menurut kenyataan itu, peserta Jelajah Warisan KL turut dibawa menyertai lawatan berpandu yang merangkumi perkongsian mengenai sejarah bangunan, kerja-kerja pemulihan fasad yang telah siap serta perancangan menjadikan stesen berkenaan sebagai destinasi bandar yang lebih berdaya tarikan.
"Sepanjang festival berlangsung, pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan tarian tradisional, persembahan busker, jualan vendor tempatan, pertandingan mewarna, reruai kesihatan dan sesi perkongsian bersama konservator yang terlibat dalam kerja pemuliharaan bangunan warisan itu," kata kenyataan itu pada Sabtu.
Selain itu, pelbagai aktiviti seni dan kraftangan tradisional seperti mencanting batik, anyaman bakul, gubahan crochet, permainan tradisional serta menenun songket turut diadakan bagi memperkenalkan warisan budaya kepada generasi muda.
RAC memaklumkan pengintegrasian Jelajah Warisan KL dengan The Heritage Colours Festival membuktikan komitmen berterusan agensi itu dalam memelihara aset warisan kereta api negara dan memastikan ia terus relevan kepada masyarakat.
Dibina pada tahun 1910, Stesen Keretapi Kuala Lumpur kekal sebagai antara bangunan warisan paling penting di negara ini dan terkenal dengan nilai sejarah serta keunikan seni binanya.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan The Heritage Colours Festival yang berlangsung secara terbuka dan percuma sehingga 28 Jun ini di Stesen Keretapi Kuala Lumpur.