Indonesia buka ruang dana 'kotor' biayai agenda Prabowo?

Iklan
Prabowo Subianto - Foto: AFP

JAKARTA – Indonesia memperkenalkan perlindungan undang-undang yang belum pernah dilaksanakan sebelum ini kepada pelabur dalam Dana Kekayaan Berdaulat (SWF) Danantara milik Presiden Prabowo Subianto, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa langkah itu boleh membuka ruang kepada kemasukan dana daripada sumber yang meragukan.

Peruntukan tersebut terkandung dalam undang-undang sektor kewangan setebal 207 muka surat yang diterbitkan minggu ini, yang melindungi pembelian bon Danantara daripada siasatan jenayah, tindakan sivil atau audit cukai.

Iklan
Iklan

Malah, rekod pembelian bon itu juga tidak boleh digunakan sebagai asas pentaksiran cukai atau dijadikan bahan bukti dalam prosiding mahkamah.

Penganalisis berpendapat perlindungan itu jauh lebih meluas berbanding skim pengampunan cukai yang pernah diperkenalkan Indonesia sebelum ini serta program seumpamanya di Argentina, Itali dan Rusia kerana ia termaktub dalam undang-undang tanpa had tempoh pelaksanaan.

Iklan

Pengarah Bersekutu Control Risks, Achmad Sukarsono berkata, Indonesia sememangnya memerlukan sumber pembiayaan domestik yang lebih kukuh, namun pendekatan itu dilihat terlalu agresif.

"Ia seolah-olah menjadikan produk pelaburan ini terlalu menarik sehingga menimbulkan persoalan mengenai ketelusan. Langkah itu mungkin berjaya mengumpulkan dana dalam jangka pendek, tetapi memberi gambaran bahawa aspek pematuhan undang-undang boleh diketepikan apabila negara memerlukan wang," katanya.

Iklan

Kerajaan Prabowo semakin bergantung kepada Danantara, yang mengurus aset negara bernilai kira-kira AS$900 bilion (RM3.7 trilion), bagi membiayai pelbagai projek utama pentadbirannya sambil mengekalkan defisit fiskal pada tahap terkawal.

Menurut dua sumber yang mengetahui perkara itu, pegawai Danantara sudah dimaklumkan lebih awal mengenai hasrat kerajaan mewujudkan mekanisme bagi menarik masuk dana yang sebelum ini berpotensi mencetuskan tanda amaran kepada pihak berkuasa.

Bagaimanapun, Danantara menafikan dakwaan bahawa institusi itu cuba menarik dana daripada sumber yang meragukan.

"Danantara komited membangunkan institusi yang menarik modal sah dan pelaburan jangka panjang.

"Sebarang dakwaan bahawa kami cuba menarik dana daripada sumber yang mencurigakan adalah tidak benar dan bercanggah sama sekali dengan matlamat penubuhan institusi ini," menurut kenyataan dana tersebut.

Sementara itu, Pusat Pelaporan dan Analisis Transaksi Kewangan (PPATK) Indonesia menyokong undang-undang berkenaan dan menegaskan ia tidak akan menjejaskan kuasa agensi itu dalam membanteras pengubahan wang haram atau menjejaskan pematuhan negara terhadap piawaian antarabangsa.

Sebaik mengambil alih pentadbiran pada penghujung 2024, Prabowo pernah menawarkan peluang kepada pegawai yang terlibat dengan rasuah untuk memulangkan semula dana haram, namun sehingga kini tiada program rasmi dilaksanakan.

Di bawah pentadbiran bekas Presiden Joko Widodo, program pengampunan cukai pada 2016 dan 2017 berjaya mengisytiharkan aset bernilai kira-kira AS$400 bilion (RM1.6 trilion), diikuti program susulan pada 2022.

Namun, kutipan hasil cukai dan pemulangan dana ke Indonesia masih jauh daripada sasaran kerajaan.

Penganalisis Vriens & Partners Indonesia, Brasukra G. Sudjana berkata, mekanisme baharu itu secara tidak langsung menawarkan perlindungan kepada pemilik dana tersembunyi, sama ada di dalam atau luar negara, sekiranya mereka membeli bon Danantara.

"Dalam erti kata lain, kerajaan seolah-olah berkata, beli bon Danantara dan sebagai balasan anda dikecualikan daripada isu pelanggaran undang-undang atau cukai yang lalu," katanya.

Sementara itu, Center of Economic and Law Studies (CELIOS) mendakwa peruntukan tersebut sarat dengan kepentingan elit politik dan penjenayah kewangan, selain mendakwa kerajaan cuba merahsiakan kandungan penuh undang-undang berkenaan sehingga beberapa minggu selepas ia diluluskan.

Menteri Kewangan, Purbaya Yudhi Sadewa bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa pelabur menerima imuniti menyeluruh.

Menurutnya, perlindungan hanya melibatkan dana yang dilaburkan dalam bon Danantara dan tidak meliputi syarikat atau aset lain yang dimiliki pelabur.

Namun, Sukarsono berpandangan sekatan terhadap akses kepada rekod pembelian bon akan menyukarkan siasatan pihak berkuasa kerana laluan aliran wang tidak lagi dapat dijejaki.

Pakar pengubahan wang haram Indonesia, Yenti Garnasih pula memberi amaran bahawa peruntukan baharu itu berpotensi membuka ruang kepada lebih banyak dana daripada sumber meragukan, termasuk hasil jenayah mata wang kripto, jenayah pasaran modal dan pengelakan cukai, memasuki sistem kewangan negara.

Beliau berkata, langkah itu juga boleh menjejaskan reputasi Indonesia dalam usaha memerangi pengubahan wang haram, sekali gus meningkatkan risiko negara itu kembali dimasukkan ke dalam senarai pemantauan khas Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF).

"Impak paling buruk ialah pelabur yang sah akan menjauhkan diri. Indonesia berisiko sekali lagi menjadi destinasi selamat bagi aktiviti pengubahan wang haram," katanya.-Agensi