Laman web KKM digodam, kementerian sahkan insiden

Iklan
KKM memuat naik hantaran mengesahkan laman web rasmi kementerian telah digodam.

SHAH ALAM - Laman sesawang rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) www.moh.gov.my, dipercayai digodam selepas memaparkan mesej yang didakwa ditinggalkan pihak yang menceroboh pelayan laman web berkenaan.

Melalui semakan, tangkap layar yang dikongsikan di media sosial menunjukkan laman sesawang rasmi KKM memaparkan mesej dari MUSHR00W, selain memaparkan akaun Telegram yang dipercayai milik penggodam.

Iklan
Iklan

Paparan itu turut memuatkan slogan"We are Anonymous. We are Legion. We do not forgive. We do not forget. Expect us."

Selain itu, ia turut menyenaraikan beberapa nama atau kumpulan iaitu"WebshellsR","Familia","Bibil","MeshSec","Illegalplatform.org","Roween" dan"Thiscitze".

Iklan

Susulan itu, KKM mengesahkan laman sesawang rasminya mengalami insiden penggodaman dan memaklumkan tindakan segera sedang diambil bagi menangani situasi berkenaan.

Kementerian menasihatkan orang ramai supaya tidak mengakses laman sesawang tersebut buat sementara waktu sehingga dimaklumkan kelak.

Iklan

"Orang ramai diingatkan supaya tidak mengklik sebarang pautan mencurigakan atau memuat turun sebarang fail daripada laman sesawang berkenaan bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan siber.

"Semua maklumat dan pengumuman rasmi berkaitan kesihatan akan terus disalurkan menerusi platform media sosial serta saluran rasmi KKM yang lain," katanya dalam hantaran di Facebook pada Sabtu.

KKM turut memohon maaf atas sebarang kesulitan dan memaklumkan perkembangan lanjut akan dikongsi secepat mungkin.

"Keselamatan data dan penyampaian perkhidmatan awam adalah keutamaan kami," menurut kenyataan itu.