UJJAIN – Seorang pelajar wanita berusia 19 tahun cedera parah selepas ditikam sebanyak 14 kali dalam tempoh 47 saat oleh seorang lelaki yang didakwa berang kerana mangsa menolak cintanya.
Dalam kejadian pada Jumaat, mangsa yang dikenali sebagai Pooja atau Gungun sedang berjalan menuju ke tempat kerjanya sebagai operator komputer di sebuah farmasi di Dawa Bazar sebelum dihalang suspek berhampiran Madhav Club.
Menurut NDTV, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek yang berusia 21 tahun berbual dengan mangsa selama beberapa saat sebelum tiba-tiba mengeluarkan pisau dan menyerangnya secara bertubi-tubi.
Mangsa yang juga pelajar tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Seni mengalami kecederaan parah di bahagian perut, leher dan tangan.
Orang ramai yang berada di lokasi segera membantu mangsa sebelum dia dikejarkan ke hospital daerah dan kemudian dipindahkan ke Hospital Patidar untuk rawatan lanjut.
Doktor memaklumkan keadaan mangsa masih kritikal.
Polis berjaya menahan suspek, Sunil Jaroliya, kira-kira tiga jam selepas kejadian.
Menurut siasatan awal, suspek mendakwa mengenali mangsa menerusi Instagram sejak empat tahun lalu dan berhasrat untuk mengahwininya.
Bagaimanapun, mangsa dilaporkan tidak lagi mahu berhubung dengannya sejak kira-kira 10 hari lalu, selain ibunya dikatakan tidak merestui hubungan tersebut.
Ketua Polis Ujjain, Pradeep Sharma berkata, suspek dipercayai telah lama mengganggu mangsa yang enggan meneruskan hubungan dengannya.
"Suspek menunggu mangsa di kawasan Dawa Bazar, bercakap dengannya seketika sebelum bertindak menikamnya berkali-kali. Mangsa kini dirawat dalam keadaan serius," katanya.
Beliau berkata, suspek turut mengalami patah kaki selepas terjatuh ketika cuba melarikan diri dengan memanjat tembok.
Suspek kini dirawat di hospital sebelum disoal siasat dan dihadapkan ke mahkamah bagi membantu siasatan.