KUALA SELANGOR - Lelaki warga emas yang dilapor hilang sejak tiga hari lalu selepas bot dinaiki terbalik semasa perjalanan pulang memancing ke jeti di Kampung Kuantan di sini ditemui meninggal dunia pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, mayat mangsa telah dijumpai dengan bantuan orang awam pada jam 8.30 pagi di sekitar kawasan bot karam.
Menurutnya, mayat mangsa berusia 73 tahun telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Dalam kejadian pada Khamis lalu, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya telah dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 6.47 petang.
"Mangsa yang terlibat ialah dua lelaki tempatan berusia 73 dan 49 tahun.
Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) termasuk menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) serta Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) selain bantuan pihak polis.
Katanya, operasi pencarian kemudian telah diperluaskan dengan radius satu hingga tiga kilometer.
"Memasuki hari ketiga (Jumaat), mayat mangsa dijumpai kira-kira 500 meter dari bot terbalik. Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tanjong Karang," ujarnya.