KEPUTUSAN Norway merehatkan penyerang sensasi, Erling Haaland bersama 10 pemain kesebelasan utama memakan diri apabila mereka dibelasah Perancis 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan I Piala Dunia 2026, sekali gus mencetuskan persoalan terhadap percaturan berani ketua jurulatih, Ståle Solbakken.
Meskipun sudah mengesahkan tempat ke pusingan 32, rombakan besar-besaran itu menyaksikan Norway gagal memberi tentangan kepada Perancis yang tampil dengan kekuatan penuh, apabila Ousmane Dembélé meledak hatrik dalam tempoh 25 minit pertama.
Haaland yang menjaringkan empat gol dalam dua aksi terdahulu, hanya memulakan perlawanan di bangku simpanan buat kali pertama sejak 2024, manakala Martin Ødegaard turut direhatkan dalam usaha memastikan pemain berada pada tahap terbaik menjelang pusingan kalah mati.
Solbakken mempertahankan keputusannya dengan menjelaskan faktor kecergasan menjadi pertimbangan utama selepas aksi sengit menentang Senegal.
“Ia bukan dibuat oleh saya seorang, malah turut dipersetujui jurulatih kecergasan, pegawai perubatan dan beberapa pemain.
“Satu-satunya pihak yang mungkin kecewa ialah penyokong kerana mereka mahu melihat Haaland dan Ødegaard beraksi,” katanya.
Menurut Solbakken, beberapa pemain menunjukkan tanda-tanda keletihan pada penghujung perlawanan sebelum ini dan beliau enggan mengambil risiko menjelang aksi hidup mati di pusingan kalah mati.
Namun, keputusan itu mengundang kritikan apabila Norway bukan sahaja tewas besar, malah terlepas peluang muncul juara kumpulan, sekali gus berdepan laluan yang lebih mencabar apabila dijadual menentang Ivory Coast pada pusingan 32.