NEW DELHI – Seorang wanita di Meerut, India, ditahan pihak polis selepas disyaki terbabit dalam pembunuhan anak lelakinya yang berusia enam tahun bersama kekasihnya dalam kejadian yang mengejutkan orang ramai.
Mangsa, Angadveer, dilaporkan hilang ketika bermain berhampiran rumahnya di Kampung Ramraj sebelum usaha pencarian dilakukan oleh ahli keluarga dan penduduk setempat.
Menurut pihak polis, siasatan awal mendapati kanak-kanak itu dipercayai diculik oleh lelaki dikenali sebagai Arpit Parashar, seorang pengurus bank swasta, yang juga merupakan kekasih kepada ibu mangsa, Gurpreet Kaur.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa menghampiri sebuah kereta sebelum masuk ke dalam kenderaan berkenaan tanpa menunjukkan sebarang tanda ketakutan, dipercayai mengenali suspek.
Polis berkata, Arpit Parashar kemudian membawa mangsa ke lokasi lain sebelum membunuhnya dan membuang jasad kanak-kanak itu di kawasan ladang berhampiran sebuah terusan, kira-kira 10 kilometer dari rumahnya.
Pihak berkuasa memaklumkan suspek pada awalnya cuba mengelirukan siasatan dengan memberikan pelbagai kenyataan berbeza, termasuk dakwaan bahawa mangsa dibuang ke dalam terusan, namun siasatan lanjut membawa kepada penemuan jasad di lokasi sebenar.
Hasil soal siasat, Arpit Parashar akhirnya mengaku terlibat dalam penculikan dan pembunuhan tersebut serta membawa polis ke tempat jasad mangsa dibuang.
Ketua Polis Meerut memaklumkan bahawa penahanan ibu mangsa dibuat selepas pihaknya menemui bukti komunikasi antara Gurpreet Kaur dan suspek utama, termasuk mesej dan rekod panggilan telefon yang dipercayai berkait rapat dengan kejadian.
Pihak polis turut menyatakan terdapat komunikasi antara kedua-dua suspek ketika kejadian penculikan berlaku, selain beberapa mesej yang didapati telah dipadam dan kini sedang dianalisis melalui pemeriksaan forensik telefon bimbit.
Dalam perkembangan sama, polis turut mengesahkan siasatan sedang dijalankan terhadap kemungkinan penglibatan ibu mangsa dalam perancangan awal jenayah tersebut, namun setakat ini tiada pertuduhan muktamad dikenakan terhadapnya sebelum penahanan dibuat.
Mangsa difahamkan sebelum ini tinggal bersama neneknya di Punjab dan baru beberapa hari berada di Meerut sebelum kejadian berlaku.
Bapa mangsa dilaporkan bekerja di Dubai, manakala kes ini masih dalam siasatan lanjut pihak berkuasa bagi melengkapkan kertas siasatan. - Agensi